Ras Adiba terima pingat kebesaran JBPM
Bernama
November 24, 2021 18:54 MYT
November 24, 2021 18:54 MYT
PUTRAJAYA: Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini dianugerahkan pingat kebesaran tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pingat Ketua Pengarah (PKP).
Ras Adiba yang mendahului senarai penerima khas, menerima PKP itu daripada Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada istiadat penganugerahan pingat kebesaran JBPM di sini.
Empat lagi penerima khas PKP ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim, bekas Ketua Pengarah NADMA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Tiga pengarah bomba negeri turut menerima PKP iaitu Pengarah JBPM Pahang Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid dan Pengarah JBPM Kelantan Jainal @Zainal Madasin.
Mohammad Hamdan dalam ucapannya berkata penganugerahan pingat itu adalah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan tinggi kepada individu istimewa yang telah menyumbang kepada pembangunan organisasi perkhidmatan kebombaan, di samping peranan luar biasa dalam menabur jasa dan bakti bagi mendepani isu kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
"Anugerah ini tidaklah setanding dengan nilai sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh insan-insan terpilih ini, namun ia merupakan satu bentuk penghargaan, pengiktirafan ikhlas daripada JBPM yang amat menyanjung tinggi usaha dan pengorbanan yang telah ditaburkan," katanya.
Ras Adiba ketika ditemui selepas majlis itu berkata penghargaan yang diterima bukan untuk dirinya sendiri tetapi adalah untuk barisan hadapan media dan badan bukan kerajaan (NGO) yang disertainya.
"Ini penghargaan bukan untuk diri saya tetapi ini untuk NGO yang bersama saya, kami membantu ramai, turun ke padang ketika pandemik bermula tahun lalu.
"Kita juga sebagai barisan hadapan media, saya sangat bersyukur kerana bomba telah banyak memberi sokongan dan memudahkan pergerakan kita dan apabila kita nak buat liputan," katanya yang juga Presiden OKU Sentral.
Pada majlis itu juga, sembilan individu dikurniakan Pingat Jasa Bomba (PJB), 19 orang menerima Pingat Setia Bomba (PSB) dan 36 lagi dianugerahkan Pingat Cemerlang Bomba (PCB) termasuk pengamal media.
Jumlah keseluruhan penerima pingat kebesaran JBPM tahun ini adalah seramai 72 orang.
-- BERNAMA