Ras Adiba kemuka 16 cadangan perkasakan komuniti OKU

Bernama
September 5, 2021 04:37 MYT
Ras Adiba (berkerusi roda) berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyegerakan proses pendaftaran OKU yang belum berdaftar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membentangkan penilaian Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tamat tahun hadapan serta memulakan proses untuk penyediaan Pelan Tindakan OKU 2023-2030, yang lebih fokus.
Ahli Dewan Negara mewakili orang kurang upaya (OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata perkara itu adalah antara 16 perkara yang dicadang untuk dilaksanakan kerajaan, dalam usaha memperkasakan komuniti OKU di negara ini.
“Saya menyambut baik usaha Perdana Menteri yang menetapkan supaya setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.
“Bagi merealisasikan komitmen kerajaan menerusi slogan Keluarga Malaysia, saya berharapan agar kerajaan dapat melipatgandakan usaha, dalam memperkasakan komuniti orang kurang upaya (OKU) di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata cadangan-cadangan lain adalah merealisasikan penaiktarafan Jabatan Pembangunan OKU sebagai jabatan penuh; menyegerakan pindaan Akta OKU 2008 dengan memasukkan elemen penguatkuasaan; memperkenalkan insurans khas buat komuniti itu; dan menubuhkan Yayasan Pembangunan OKU Malaysia.
Selain itu, Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral turut mencadangkan kerajaan meluaskan kategori OKU kepada penyakit jarang jumpa dan albino, serta menyediakan peruntukan khas dan penubuhan Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa menerusi Belanjawan 2022.
Beliau berkata kerajaan juga perlu menyalurkan geran khas kepada badan bukan kerajaan untuk membantu mereka di lapangan, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar serta menambah kuota Ahli Dewan Negara mewakili OKU kepada dua orang.
“Saya berkeyakinan kesemua perkara di atas penting bagi memastikan kebajikan OKU di Malaysia terjaga, dan ia mampu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari sekiranya kesemua kementerian berkaitan menunjukkan kesungguhan dalam hal pembangunan dan pemerkasaan OKU,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyegerakan proses pendaftaran OKU yang belum berdaftar, kerana sehingga 20 Jun lepas hanya 580,633 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
-- BERNAMA
#daftar OKU #kategori OKU #Ras Adiba Radzi #Pelan Tindakan OKU #Belanjawan 2022
;