Ras Adiba cadang kerajaan sediakan lebih banyak sekolah keperluan khas

Bernama
Disember 4, 2021 19:59 MYT
Ras Adiba berkata beliau sedang dalam perbincangan dengan kementerian berkenaan sebagai satu usaha membantu ibu bapa dengan anak-anak istimewa. - Bernama
KUALA LUMPUR: OKU Sentral akan mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menyediakan lebih banyak platform yang mampu ditanggung ibu bapa atau penjaga seperti kelas atau sekolah keperluan khas untuk kanak-kanak istimewa mendapatkan pendidikan dan kemahiran.
Presidennya Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata beliau sedang dalam perbincangan dengan kementerian berkenaan sebagai satu usaha membantu ibu bapa dengan anak-anak istimewa tetapi menghadapi kesulitan kewangan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
"Pada masa pandemik ini rakyat terjejas ... saya tahu ada kelas dan sekolah tetapi sangat mahal... jadi kami perlu memastikan ia mampu ditanggung (ibu bapa)," kata beliau kepada Bernama selepas menghadiri Pameran Artisan di Royal Lake Club di sini pada Sabtu.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa supaya meneroka di dalam talian untuk mendapatkan lebih banyak bahan bacaan dan menyertai mana-mana persatuan untuk lebih memahami anak-anak istimewa mereka dan mendapatkan sokongan daripada ibu bapa lain.
Mengulas mengenai acara itu yang dianjurkan bersempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa (OKU), Ras Adiba memuji penganjuran acara ini kerana ia menemukan golongan OKU dengan mereka yang normal ketika pandemik.
Pameran anjuran usahawan merangkap pelukis Mandakini Negi dan Shikha Grover sebagai satu penghargaan kepada pelukis di seluruh dunia terutamanya wanita yang cekal dalam mengharungi pandemik COVID-19.
Antara yang mencuri perhatian dalam pameran ini ialah adik Rajendrra Vharma, 7, seorang kanak-kanak autistik yang mempamerkan hasil lukisan berupa haiwan dalam warna terang yang menurut Rajeswari Paramasevam sebagai satu kelebihan anaknya.
Bapa Rajendrra, Mohanan Perumal berkata anak lelakinya itu mula menceburi seni dengan sendiri ketika berusia empat tahun.
"Abang saya seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia memberikannya sekeping kanvas besar dengan tujuan untuk menilai minat Rajendrra dalam seni dan memberitahu kami supaya membiarkan kanak-kanak itu melakukannya (melukis) dengan sendiri.
"Akhirnya, dia menyiapkan hasil lukisannya sendiri selepas mengusahakan selama tiga hari sedangkan kami memberinya masa sebulan untuk disiapkan.
"Semenjak dia menunjukkan minat di dalam seni kami mula memupuk bakatnya," kata beliau.
-- BERNAMA
#Ras Adiba Radzi #OKU #usahawan #pendidikan