Rara mengaku sedang mengenali hati budi seorang jejaka
Hakim Rahman
Disember 31, 2020 16:09 MYT
Disember 31, 2020 16:09 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mengakui, beliau kini sedang dalam fasa perkenalan dengan seorang jejaka namun menafikan akan mengadakan majlis ijab kabul dalam masa terdekat.
Katanya, menjadi lumrah dalam kehidupan untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki, namun itu tidak akan menganggu fokusnya untuk terus berkhidmat kepada penduduk Ketari.
"Kalau saya kahwin nanti saya akan umumkan tetapi saya rasa fokus dan tumpuan harus diberikan terhadap pencapaian saya dalam membantu penduduk di DUN Ketari," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan turut menambah perkenalanya masih di peringkat awal namun jejaka berkenaan sangat memahami tugasnya yang menuntut masa dan usaha membantu rakyat.
Sebelum ini Ummi Hafilda Ali yang juga adik kepada Datuk Seri Azmin Ali dalam satu hantaran di Facebook mengucapkan tahniah kepada Young Syefura kerana didakwa bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan.
Menurut hantaran itu, Young Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara dikatakan bakal bertunang dengan jejaka tersebut pada Januari ini manakala majlis resepsi akan diadakan sekitar Mac.
Mengulas lanjut, Rara berkata, masyarakat sepatutnya memberikan tumpuan terhadap prestasi beliau sebagai ADUN Ketari berbanding soal peribadinya.
"Saya baru siarkan laporan tahun 2020 sebagai ADUN Ketari dan usaha yang dilakukan Pejabat DUN Ketari untuk penduduk, tahun depan Insya-Allah akan ada lebih banyak program akan dilakukan," tambahnya lagi.
Untuk rekod, Rara, 31, pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Masyur, seorang pengurus pelaburan pada 24 September 2016 namun pasangan tersebut bercerai talak satu pada 7 Mac 2019.