Raptai penuh istiadat pembukaan Parlimen ke-13, Jumaat ini
Bernama
Februari 27, 2018 12:50 MYT
Februari 27, 2018 12:50 MYT
Raptai penuh Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 akan diadakan Jumaat ini.
Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah berkata persidangan itu akan bermula pada Isnin depan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Rosmee berkata Dewan Rakyat akan bersidang selama 20 hari bermula 5 Mac hingga 5 April bermula dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja selama dua minggu, sebelum menteri-menteri menjawab perbahasan tersebut pada minggu ketiga.
"Perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada minggu keempat dan kelima," katanya.
Rosmee berkata notis pemberitahuan berhubung persidangan tersebut yang merupakan persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 diadakan, telah dikeluarkan pada 19 Jan lepas.
Persidangan Dewan Rakyat juga akan turut menyaksikan sesi khas yang akan menjadi tumpuan iaitu Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri selama 30 minit setiap Selasa dan Khamis, manakala ucapan berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 17 Baharu adalah pada setiap hari, bermula 2.30 petang di Kamar Khas Parlimen Malaysia.
-- BERNAMA