Raptai kedua penghantaran vaksin ke Bintulu berjalan lancar - Aaron Dagang

Astro Awani
Januari 30, 2021 17:15 MYT
Latihan penerimaan vaksin ini penting bagi mengenalpasti sebarang kelemahan yang wujud terutama yang melibatkan aspek logistik dan fasiliti, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang. - Gambar Astro AWANI
BINTULU: Latihan kedua penghantaran vaksin COVID-19 dari Kuching ke Hospital Bintulu berjalan dengan lancar, kata Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan itu, operasi penghantaran tersebut berjaya mengekalkan suhu vaksin -75 darjah Celcius sepanjang 13 jam perjalanan.
"Pada dry run kali ini, kita mengulangi proses penerimaan vaksin COVID-19 agar dapat memastikan pengekalan suhu berada pada tahap rendah iaitu negatif 75 darjah celcius.
"Sepanjang perjalanan vaksin ini daripada Belgium iaitu dalam kadar lima hari (sahaja) ke Belaga.
"Hari ini, kita sekali lagi mengadakan dry run di Bintulu supaya mereka yang mengendalikan proses vaksinasi itu nanti akan memahami prosedur sebenar ketika menerima vaksin," katanya pada sidang media aktiviti dry run penghantaran vaksin COVID-19 di Hospital Bintulu pada Sabtu.
Jelasnya lagi, selain memberi pendedahan awal kepada petugas vaksinasi di pedalaman, latihan itu juga penting bagi mengenal pasti sebarang risiko yang mungkin berlaku.
Setakat ini, kata beliau, tiada sebarang kelemahan dikenal pasti melibatkan aspek logistik, mahupun fasiliti di pusat vaksinasi berkenaan.
Sementara itu, Aaron turut memaklumkan pemberian vaksin COVID-19 akan dilaksanakan melalui tiga peringkat.
Tiga peringkat berkenaan adalah barisan hadapan, kumpulan rentan dan orang awam.
"Mengikut pelan imunisasi, kita lakukan mengikut prioriti. Fasa pertama memang untuk petugas barisan hadapan, pihak tentera, polis, ada lebih 500,000 (individu).
"Kemudiannya, (golongan) berisiko tinggi, orang tua, pesakit dan fasa ketiga, barulah untuk orang awam berusia 18 tahun ke atas," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman sesawangnya pada 22 Januari lepas memaklumkan pemberian vaksin dijadualkan bermula Mac depan.
Ia akan dilaksanakan sepanjang tahun ini untuk memenuhi sasaran 70 peratus populasi rakyat Malaysia.
#Penghantaran vaksin #raptai #Timbalan Menteri Kesihatan II #Datuk Aaron Ago Dagang #Pengendalian vaksin #COVID-19 #pandemik #Sarawak #KKM #Hospital Bintulu #dry run
;