Rapid KL tambah 200 lagi kakitangan sokongan bantu kelancaran pergerakan penumpang
Faida Rahim
Januari 30, 2023 10:20 MYT
Januari 30, 2023 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Rapid KL menambah 200 lagi kakitangan sokongan bagi mengawal situasi di empat stesen Transit Aliran Ringan (LRT), hari ini.
Antara stesen LRT terlibat ialah Masjid Jamek, Hang Tuah, Bandaraya, dan Plaza Rakyat.
Tinjauan Astro AWANI ke Stesen Masjid Jamek dan Hang Tuah mendapati operasi pergerakan penumpang berjalan lancar pagi ini.
Pengguna LRT, Shakira Mohd Nor memberitahu perjalanan hari ini lebih lancar berbanding Jumaat lalu.
“Saya tinggal di Klang dan turun di KL Sentral sebelum sampai ke pejabat.
“Alhamdulillah perjalanan hari ini lebih baik berbanding Jumaat lepas, lancar sampai ke pejabat,” katanya ditemui di stesen LRT Masjid Jamek, sebentar tadi.
Dalam pada itu, bilangan bas perantara percuma juga akan ditambah bermula hari ini dengan kekerapan 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.
Semalam, Rapid KL mengumumkan lanjutan waktu puncak LRT laluan Ampang/ Sri Petaling dan Monorel dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel, khususnya di stesen pertukaran Masjid Jamek dan Hang Tuah.
Waktu puncak dipanjangkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi, manakala waktu puncak petang pula akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam.