Rapid KL perkenal pas MyCity Dua Hari
Bernama
Julai 13, 2024 06:15 MYT
Julai 13, 2024 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui Rapid KL menawarkan pakej tambahan iaitu MyCity Dua Hari yang merupakan pas perjalanan harian tanpa had di semua laluan rel dan bas Rapid KL.
Prasarana dalam kenyataan semalam memaklumkan pakej itu adalah sebahagian daripada komitmen syarikat berkenaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna dengan memperkenal tawaran terbaharu yang menarik.
"Pas MyCity Dua Hari kini boleh didapati di semua kaunter khidmat pelanggan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau di hab bas terpilih dan secara dalam talian menerusi aplikasi MyRapid PULSE bermula 12 Julai ini," katanya.
Ia dijual pada harga RM11 untuk rakyat Malaysia dan RM18 untuk warga asing manakala Pas MyCity sedia ada selama satu hari dan tiga hari masing-masing berharga RM6 dan RM15 untuk rakyat Malaysia dan RM10 dan RM25 untuk warga asing.
Rapid KL turut melancarkan kempen 'Beli 1 Percuma 1' untuk MyCity bagi pembelian pas dua hari dan tiga hari, yang sah bagi pembelian melalui aplikasi MyRapid PULSE sahaja.
Kempen di aplikasi MyRapid PULSE itu, yang bermula Jumaat, berlangsung selama sembilan hari hingga 20 Julai ini terhad kepada 200 penyertaan terawal dan akan dihantar melalui e-mel berdaftar kepada pengguna terpilih.
"Tarikh penebusan bermula dari 21 Julai hingga 31 Julai ini. Penebusan pas percuma hanya boleh dilakukan di Stesen KL Sentral (Sayap Timur) untuk tempoh sama dari 6.30 pagi hingga 2.30 petang dan 3.30 petang hingga 10.30 malam.
"Setelah pembelian dilakukan, pengguna harus mengimbas kod QR yang tersedia dan mengisi butiran yang diperlukan," menurut kenyataan itu.
Rapid KL turut berkolaborasi dengan Incompleteness Theorem Sdn Bhd melalui jenama WORQ, sebuah ruang kerja bersama, untuk memberikan akses percuma selama sehari kepada pemegang Pas MyCity.
Kolaborasi ini, yang berlangsung selama tiga bulan dari 15 Julai hingga 14 Okt, melibatkan cawangan WORQ di Taman Tun Dr Ismail, Subang, Bangsar Selatan, KL Sentral, Bangsar, Sunway Putra dan Intermark.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Rapid KL, platform media sosial Rapid KL di X, Facebook, Instagram dan TikTok atau hubungi khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-7885 2585.
-- BERNAMA