Rapid KL lanjut perkhidmatan LRT, MRT, Monorel pada Sabtu ini
Hafizi Rosli
April 13, 2023 09:52 MYT
April 13, 2023 09:52 MYT
KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi beberapa stesen rel terpilih membabitkan LRT, MRT dan Monorel pada Sabtu (15 April 2023) sehingga jam 1.30 pagi.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Rapid KL memaklumkan, pelanjutan waktu operasi itu bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Antara stesen yang dilanjutkan perkhdimatannya adalah Masjid Jamek dan KLCC (LRT Laluan Kelana Jaya), Masjid Jamek (LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling), Bukit Bintang (MRT Laluan Kajang) dan Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit (Laluan Monorel).
Jelasnya, stesen-stesen sambungan akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir manakala stesen- stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa.
Namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
Sementara itu, susulan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, perkhidmatan bas perantara LRT 11 juga turut dilanjutkan sehingga jam 1.30 pagi bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen-stesen berkenaan.