Rapid Bus, Volvo meterai MoU operasi percubaan bas elektrik
Bernama
Mei 21, 2024 04:20 MYT
Mei 21, 2024 04:20 MYT
SHAH ALAM: Rapid Bus Sdn Bhd dan Volvo Buses Malaysia pada Selasa menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan operasi percubaan bas elektrik baharu Volvo BZL-GML Eco Range untuk perkhidmatan Rapid KL.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, operasi percubaan yang dijangka bermula awal Julai itu melibatkan satu unit bas mesra alam dan akan melalui pelbagai laluan di Lembah Klang bagi mengumpul data berkaitan kesesuaiannya di jalan raya di negara ini.
Beliau berkata, operasi percubaan yang dijangka berlangsung selama enam bulan sehingga setahun itu juga satu daripada inisiatif Bas Rapid dalam melaksanakan arahan Kementerian Pengangkutan untuk menghentikan perolehan bas diesel selepas penghantaran kenderaan berkenaan tiba pada suku pertama 2025.
"Beberapa bulan lepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan perolehan bas diesel terbaharu adalah yang terakhir dan kerajaan sedang melihat bagaimana kami dapat mempercepatkan bas elektrik (pelaksanaan) memandangkan kami juga kini mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).
"Insya-Allah tidak lama lagi kami akan membuka tender bas EV...dan rancangan untuk Bas Rapid (menggunakan) bas elektrik 100 peratus diharapkan dapat dicapai sebelum 2037," katanya semasa sidang media selepas menandatangani MoU, di sini, pada Selasa.
Bas Volvo BZL-GML Eco Range mampu memuatkan sehingga 91 penumpang dengan kapasiti 33 tempat duduk.
MoU itu ditandatangani oleh Yazurin dan Pengurus Negara untuk Volvo Buses (Malaysia), Marcus Mak, disaksikan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Sweden, Robert Lejon; Pengarah Pusat Volvo Buses APAC, Marishya Wilhelmina; Naib Presiden Volvo Buses Asia Pasifik, Mats Nilson dan Pengarah Eksekutif Gemilang International Limited, Pang Jun Jie. - BERNAMA