Rapid Bus, DBKL lancar laluan kontra di Koridor Ampang mulai 3 Julai
Bernama
Mei 27, 2023 11:20 MYT
Mei 27, 2023 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melancarkan laluan kontra di Koridor Ampang melibatkan laluan di Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak mulai 3 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata bukti konsep (POC) laluan kontra bagi perkhidmatan itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, melibatkan Laluan 300 (Pandan Indah - Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya - Lebuh Ampang) dan DS01 (Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang ke Ampang Park/KLCC).
Beliau berkata laluan kontra itu akan mengelakkan bas-bas daripada tersekat di dalam kesesakan trafik yang selalunya menjadi punca utama kelewatan tiba bas di hentian.
"Kami di Rapid Bus sentiasa berusaha meningkatkan pengalaman penumpang kami. Salah satu komponen yang agak kritikal adalah memastikan agar bas kami tiba di hentian mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya sebagai menyahut seruan kerajaan untuk menampilkan inisiatif penambahbaikan perkhidmatan bas, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas Rapid KL dan seterusnya menaikkan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada orang awam.
Muhammad Yazurin berkata dengan adanya satu laluan sementara yang dibuka khas untuk pengangkutan bas awam sahaja pada waktu puncak pagi dan petang, ia akan memastikan kekerapan bas yang lebih tepat, sekali gus memendekkan masa menunggu penumpang.
"Kami berharap lebih ramai penduduk di sekitar Ampang akan menggunakan perkhidmatan bas sebagai pilihan utama mereka untuk ke pusat bandar raya kerana ia jimat, cepat dan mudah," katanya.
-- BERNAMA