Rapid Bus, DBKL laksana projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang mulai Isnin

Bernama
Jun 30, 2023 05:00 MYT
Lorong bas itu yang akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 hingga 9 pagi, dijangka memberi manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan projek percubaan lorong bas bermula dari persimpangan Jalan Rhu sehingga ke persimpangan Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang, di sini mulai 3 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yassin berkata lorong bas itu akan melibatkan 34 bas dari dua laluan, iaitu laluan 300 dari Pandan Indah hingga Lebuh Ampang dan laluan 303, membabitkan laluan dari Taman Mulia Jaya hingga Lebuh Ampang.
Menurutnya, lorong bas itu yang akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 hingga 9 pagi, dijangka memberi manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja.
"Dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL akan lebih lancar dan menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit jika dibandingkan menggunakan kenderaan persendirian.
Kami ingin menggalakkan komuniti di Ampang untuk mencuba kemudahan yang disediakan ini agar pengangkutan awam dapat menjadi mod perjalanan utama mereka," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Muhammad Yazurin berkata projek percubaan itu diharapkan menjadi pemangkin bagi peralihan mod perjalanan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kritikal di Jalan Ampang.
"Perkhidmatan bas di Jalan Ampang, bukan sahaja membawa penumpang ke KLCC, namun menghubungkan penumpang ke mod pengangkutan awam yang lain untuk ke destinasi akhir. Perjalanan akan bertambah selesa dengan penggunaan bas dua tingkat yang baharu dan selesa serta dengan adanya kemudahan 'Park n Ride'.
Kesesakan dapat dikurangkan sekiranya berlaku pertukaran mod daripada kenderaan persendirian ke bas yang mana sebuah bas dua tingkat boleh memuatkan seramai 110 orang bersamaan lebih 50 kereta yang hanya boleh memuatkan satu hingga dua penumpang pada satu-satu masa," katanya.
Muhammad Yazurin berkata komuniti sekitar Ampang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas boleh memanfaatkan kemudahan "Park n Ride" di Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, yang mengenakan kadar parkir hanya RM4.30 sehari.
Pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.
-- BERNAMA
#Pulse #Rapid Bus #DBKL #LRT
;