Rapatkan saf ketika solat jemaah dituntut dalam Islam
Sinar Harian
Mac 24, 2024 10:30 MYT
Mac 24, 2024 10:30 MYT
GEORGE TOWN: Kedudukan saf yang tidak sama ketika menunaikan solat berjemaah merupakan salah satu kejahilan yang merugikan kerana saf yang betul amat dituntut di dalam solat berjemaah sama ada solat fardu atau sunat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, kejahilan sering merugikan dan disebabkan itu, Islam amat menggalakkan umatnya menuntut ilmu secara berterusan sehingga ke liang lahad.
Menurutnya, dengan ilmu, seseorang akan hidup bahagia di dunia dan akhirat.
"Dari sudut akidah, seseorang Muslim dikehendaki mempercayai kepada rukun-rukun iman serta dalil-dalilnya walaupun secara umum. Contohnya dalil kepada wujudnya ALLAH SWT ialah baharunya alam.
"Sementara dari sudut ibadat pula, seseorang perlu mengetahui syarat-syarat dan rukun-rukun solat, puasa serta apa juga yang membatalkan ibadah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Baru-baru ini tular isu jemaah perempuan di sebuah masjid yang enggan merapatkan saf mereka dan solat secara berkelompok.
Ada yang memenuhi saf hadapan, ada pula berada di sebelah kanan dan kiri selain berkelompok di beberapa bahagian lain.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, terdapat beberapa hadis yang memerintahkan umat Islam menyamakan saf ketika solat berjemaah.
Oleh itu katanya, terdapat beberapa ulama yang berpandangan bahawa menyamakan saf dan merapatkannya adalah wajib namun majoriti ulama berpendapat bahawa tindakan itu hanya sunat manakala meninggalkannya adalah makruh.
"Ini adalah kerana dalam hadis dinyatakan bahawa saf yang sama adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat tetapi tidak membatalkannya.
"Bagaimanapun, Rasulullah SAW ialah suri teladan bagi umat Islam sama ada lelaki atau wanita. Oleh itu, amat wajar untuk kita mengikut sunah Baginda Rasul dalam setiap bidang kehidupan terutamanya dalam ibadat," katanya.
Jelas beliau lagi, seruan imam setiap kali hendak memulakan solat jemaah adalah mengikut sunah Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berbuat demikian setiap kali Baginda mengimamkan solat.
"Setiap kali hendak memulakan solat berjemaah, imam sering menyeru para makmum supaya menyamakan saf serta merapatkannya.
"Tetapi seruan ini memerlukan kepada telinga yang mendengar dan hati yang patuh," katanya lagi.
Wan Salim turut menasihatkan umat Islam supaya sentiasa meluruskan serta merapatkan saf ketika menunaikan solat berjemaah termasuk solat sunat tarawih di bulan Ramadan ini supaya mendapat pahala yang maksimum.
"Menyama dan merapatkan saf tidak wajar diabaikan kecuali di dalam keadaan terpaksa seperti untuk mengelakkan jangkitan penyakit. Ketika COVID-19 melanda dunia sebelum ini, umat Islam dikehendaki mematuhi arahan pihak kerajaan supaya melakukan penjarakan fizikal ketika menunaikan solat berjemaah.
"Setelah keadaan kembali normal, maka kita sepatutnya menyamakan saf dan merapatkannya semula seperti sedia kala. Semoga segala ibadat yang kita lakukan di bulan Ramadan yang mulia ini diterima oleh ALLAH SWT dan mendapat pahala lumayan sebagaimana dijanjikan olehNya," katanya. - Sinar Harian