Rapatkan jurang perbezaan untuk hapus prasangka antara masyarakat - ABIM
Israr Khalid
Disember 5, 2022 05:15 MYT
Disember 5, 2022 05:15 MYT
Kuala Lumpur: Kerajaan digesa supaya serius dalam menjayakan agenda perpaduan dengan memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar yang merapatkan jurang perbezaan antara masyarakat.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berpendapat, prasangka yang wujud daripada ketidakseimbangan kualiti hidup rakyat menjadi punca timbulnya naratif perpecahan di negara ini.
Maka oleh hal demikian, beliau merasakan bahawa segala isu yang membebani rakyat perlu ditangani supaya tuduh-menuduh mengatakan pihak itu dan ini menjadi penyebab kepada kepayahan hidup mana-mana golongan dapat dihentikan.
“Bila mana kita sebut tentang menutup ruang prasangka, ia bukan hanya sekadar mengadakan pertemuan, berdialog atau mengadakan program bersama semata-mata tetapi (solusi) yang lebih konkrit.
“Kerajaan berperanan untuk memperkenalkan dasar-dasar penyatuan seperti contoh bagaimana isu-isu rintihan kelompok marginal, orang asli, golongan rentan, penduduk luar bandar dapat diselesaikan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Beliau melihat tindakan undang-undang masih perlu untuk memberi pengajaran kepada mereka yang melampaui batas tatasusila, namun langkah itu tidak merawat permasalahan pada akarnya.
Maka cara terbaik adalah dengan memastikan segenap lapisan masyarakat yang pelbagai di negara ini tidak terlalu terpisah dan masing-masing dapat mengecap kesejahteraan hidup yang selayaknya.