Rapatkan jurang pembangunan, pendapatan antara fokus utama RMK-12

Umavathi Ramayah
September 1, 2021 08:57 MYT
Tok Pa mengetip kad perakam masa sebagai simbolik beliau melapor diri secara rasmi di Jabatan Perdana Menteri. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Antara dua perkara yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada 27 September ini adalah merapatkan jurang pembangunan antara negeri-negeri dan jurang pendapatan yang disebabkan pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, ini bagi menetapkan hala tuju ekonomi negara untuk jangka sederhana dan jangka panjang.
Beliau memberitahu, usaha penyediaan RMK-12 kini hampir siap sepenuhnya.
"Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan memberi taklimat dan maklumat terkini kepada perdana menteri mengenai penyediaan RMK ke-12 tersebut," katanya di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetip kad perakam masa sebagai simbolik beliau melapor diri secara rasmi di Jabatan Perdana Menteri.
Turut serta adalah timbalan beliau, Datuk Eddin Syazlee Shith. Kehadiran mereka disambut oleh Ketua Pengarah EPU, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Timbalan Ketua Pengarah Makro EPU, Dr Zunika Mohamed.
Mengulas lanjut Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu memberitahu, antara perkara yang menjadi fokus utama dalam pelan lima tahun itu adalah merapatkan jurang pembangunan antara negeri-negeri dan jurang pendapatan yang disebabkan pandemik COVID-19.
Menurutnya, berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan bagi tahun 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Ogos lalu mendapati enam negeri merekodkan kemiskinan mutlak.
"Enam negeri itu adalah Sabah (25.3 peratus), Kelantan (21.2 peratus), Sarawak (12.9 peratus), Kedah (12.7 peratus), Terengganu (12 peratus) dan Perak (11.4 peratus)," katanya di sini, pada Rabu.
Mustapa menyifatkan pelan tersebut sebagai kesinambungan terhadap asas yang dibina oleh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita juga akan memberi fokus kepada keperluan asas. Kita seringkali mendengar masalah mengenai bekalan air, elektrik dan sekarang kita bercakap mengenai infrastruktur digital terutamanya di kawasan pedalaman serta masyarakat Orang Asli," katanya di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, katanya, kementeriannya akan memuktamadkan Belanjawan Pembangunan 2022 bersama EPU dan Kementerian Kewangan secepat mungkin kerana perlu memberi input kepada Bajet 2022, yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Terdahulu Ahli Parlimen Jeli memegang potfolio yang sama selama 17 bulan sebelum dilantik semula di bawah kerajaan baharu.
#Rancangan Malaysia Ke-12 #Mustapa Mohamed #Dewan Rakyat #Jurang pendapatan
;