Rantaian bekalan industri diteguhkan untuk elak gangguan - Tengku Zafrul

Bernama
Ogos 14, 2024 07:30 MYT
Tengku Zafrul berkata rantaian bekalan global merupakan talian hayat ekonomi dunia yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mewujudkan langkah pencegahan bagi menghadapi kemungkinan gangguan rantaian bekalan, antaranya membangunkan platform yang dapat meningkatkan kebolehkesanan bagi memastikan rantaian bekalan industri Malaysia berdaya tahan.
MITI dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif ini akan turut dimulakan bagi membolehkan capaian berpusat kepada garis panduan, peluang pembiayaan dan program sokongan termasuk memperkukuh perkongsian ilmu dalam kalangan pemain industri.
Kementerian berkata perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Keenam yang memberi penekanan kepada "Membina Sekuriti Ekonomi Melalui Rantaian Bekalan Yang Berdaya Tahan."
Menurut MITI, berikutan hasil dapatan sesi libat urusnya bersama industri dan penglibatan kerjasama dua hala serta pelbagai hala, terdapat keperluan untuk mewujudkan langkah responsif terhadap gangguan, ketersediaan menghadapi gangguan dan pemulihan terhadap gangguan.
Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan sama berkata rantaian bekalan global merupakan talian hayat ekonomi dunia yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.
"Keselamatan rantaian bekalan bukan sahaja membolehkan aliran barangan, perkhidmatan dan input yang lancar merentas sempadan, malah dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sejagat.
"Pandemik COVID-19 merupakan peringatan yang jelas mendedahkan kelemahan dan seterusnya menyedarkan MITI mengenai pentingnya rantaian bekalan industri yang berdaya tahan dan efisien," kata Tengku Zafrul.
Menurut kenyataan itu, sebagai sebuah negara yang terbuka kepada pelaburan dan perdagangan, Malaysia amat peka dengan gangguan rantaian bekalan disebabkan situasi geopolitik global dan bencana alam.
Sehubungan itu, katanya untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya saing, MITI komited untuk memastikan rantaian bekalan industri nasional kekal berdaya tahan dan terjamin apabila berhadapan dengan gangguan rantaian bekalan pada masa hadapan.
MITI berkata semua pihak berkepentingan perlu menggunakan pendekatan pelbagai serampang bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan global.
"Kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan organisasi antarabangsa adalah mustahak dalam memudahkan perkongsian maklumat, menyelaras maklum balas dan membangunkan piawaian yang seragam.
"Ini termasuk keperluan untuk memanfaatkan teknologi, mempelbagaikan pilihan sumber, memupuk kerjasama serantau dan meningkatkan keupayaan fleksibiliti sebagai strategi utama dalam mengukuhkan rantaian bekalan yang responsif kepada gangguan rantaian," katanya.
Selain itu, katanya pendigitalan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan daya tahan dan keselamatan keseluruhan rantaian bekalan, memacu inovasi dan memberi kelebihan daya saing dalam pasaran global yang semakin kompleks.
"Dengan memanfaatkan teknologi digital, Malaysia mampu meningkatkan keupayaan untuk mencegah dan bertindak balas terhadap gangguan, melaksanakan langkah keselamatan yang teguh, dan menyelaraskan operasi untuk kecekapan dan ketangkasan yang lebih tinggi," katanya.
MITI berkata usaha ini dapat dilaksanakan melalui pendigitalan dalam bentuk sistem, aplikasi dan pusat kecemerlangan maya.
-- BERNAMA
#rantaian bekalan industri #MITI #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #elak gangguan