Rantai kaki anak: 2 beradik mangsa dera masih bersekolah - KPM
Sinar Harian
Mac 26, 2023 16:00 MYT
Mac 26, 2023 16:00 MYT
PERMATANG PAUH: Dua daripada tiga beradik yang dipercayai mangsa dera selepas ditemui dalam keadaan kaki masih berantai di tepi titi, Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat dekat sini pada Jumaat masih lagi bersekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semakan rekod menunjukkan dua beradik itu hadir ke sekolah namun kes masih dalam siasatan.
“Kita dapati mereka ada yang bersekolah dan kes ini masih dalam siasatan merentas pelbagai kementerian.
“Saya baru dapat makluman mereka memang ada bersekolah di beberapa sekolah sekitar Perlis dan kita akan pastikan perkembangan ketiga-tiga anak ini akan diambil perhatian sepenuhnya sebab mereka sudah diletakkan di institusi jagaan," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Sebelum itu, Fadhlina menghadiri Program Smart School yang dianjurkan Yayasan AEON dengan kerjasama Yayaysan Didik Negara di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, di sini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada agensi dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sebelum pihaknya mengambil dan uruskan di peringkat pendidikan.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan tiga beradik dipercayai mangsa dera ditemui dalam keadaan kaki masih berantai di tepi titi, Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa berusia 13 hingga 16 tahun ditemui oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis.
"Ketika ditemui, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.
"Mereka dipercayai dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka sebelum bertindak melarikan diri kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian," katanya. - Sinar Harian