Ranking UiTM lonjak naik pada band 101-200 tahun ini
Nursyazwani Saiful Sham
April 22, 2021 11:50 MYT
April 22, 2021 11:50 MYT
KUALA LUMPUR : Ranking Universiti Teknologi Mara (UiTM) melonjak naik pada kedudukan band 101-200 tahun ini berbanding 401-600 tahun lepas.
Ini adalah pengumuman terbaharu oleh Times Higher Education (THE), Impact Rankings pada Rabu.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Roziah Mohd Janor dalam satu kenyataan, peningkatan tersebut dicapai melalui dua Matlamat Pembangunan Lestari UiTM (Sustainable Development Goals SDGs) yang berada pada posisi 50 terbaik.
"SDG 5 pada kedudukan 42 berbanding 74 sebelumnya dan SDG 17 pada kedudukan 48, berbanding 601+ sebelumnya.
"Manakala, dua lagi SDG pada kedudukan 100 terbaik iaitu SDG 1 pada kedudukan 54, berbanding 101-200 sebelumnya, dan SDG 4 pada kedudukan 95, berbanding 101-200 sebelumnya.
"Pencapaian yang memberansangkan ini adalah hasil pendekatan dan inisiatif pintar yang dimulakan oleh bekas Naib Canselor, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, khususnya melalui pelaksanaan perancangan strategik UiTM2025," ujarnya.
Ini adalah bukti bahawa UitM berada pada landasan yang betul ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025 dan akan menjadi motivasi terbaik kepada seluruh warga UiTM.
Untuk rekod, jelasnya lagi, edisi ketiga THE Impact Rankings ini, sejumlah 1,115 universiti di seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam penarafan ini.
"Tahun 2021 merupakan tahun kedua penyertaan UiTM dan ia sekaligus menampilkan kecemerlangan pencapaian universiti dengan meraih tempat ke-4 teratas daripada keseluruhan 19 universiti di Malaysia yang menyertai.
"Untuk edisi kali ini, UiTM telah menyertai sembilan (9) matlamat, iaitu SDG 1, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 10 dan 17. Selain empat (4) SDG yang berada di kalangan 100 terbaik, empat (4) SDG lain yang turut mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan adalah SDG 6 yang berada di band 101-200, berbanding tahun lalu iaitu pada band 201-300.
"Selain daripada itu, SDG3, SDG 7 dan SDG 10 memperbaiki kedudukan dengan berada di band 201-300 berbanding 301-400 yang dicapai pada tahun lepas," katanya.
#MARA
#UiTM
#ranking
#Sustainable Development Goals
#times higher education
#Prof Dr Roziah Mohd Janor