Ranjau Ayob Khan: Menegak integriti dalam pahit persepsi

Israr Khalid
April 5, 2021 17:36 MYT
"Johor ini unik. Segalanya ada di sini." - Ayob Khan.
KUALA LUMPUR: Peribadinya disegani, ketegasannya digeruni. Namun tak kurang juga yang membenci.
Sekian lama nama Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sinonim dengan segala gerakan membanteras aktiviti keganasan di negara ini, kini beliau ditugaskan untuk mengemudi kontinjen Sang Saka Biru di selatan tanah air.
Dari Bukit Aman ke Johor, biarpun tempat dan cabarannya mungkin sedikit berbeza, visinya tetap sama - menegakkan undang-undang dengan penuh integriti, keikhlasan dan keberanian.
Ini adalah kali pertama Ayob ditugaskan untuk memimpin kontinjen, dan Johor bukanlah sebuah negeri yang mudah. Bak kata Ayob, “Johor ini unik, segalanya ada di sini.”
Maka timbul persepsi orang ramai bahawa mampukah Ayob, yang selama ini bergelumang dengan pelampau, ekstremis dan pengganas, memimpin sebuah kontinjen?
Tidak mustahil kehadirannya itu juga menimbulkan rasa tidak senang kepada para pegawai dan anggota kontinjen negeri itu sendiri kerana ketegasannya yang tiada ruang kompromi.
Ini kerana sejak belakangan ini kredibiliti polis seakan tercalar saban hari, apabila pendedahan demi pendedahan terhadap penyalahgunaan kuasa serta penglibatan anggota dan pegawai polis dalam kegiatan jenayah.
Ini bukan perkara baharu, semua orang sudah tahu. Tetapi sampai bila ia mahu dibiarkan begitu? Apabila sampai hari di mana polis tidak lagi boleh dipercayai, kepada siapa rakyat mahu berharap untuk memastikan negara ini kekal berada dalam aturannya.
Maka di sini perlunya, apa yang dipanggil Ayob, sebagai keberanian yang melengkapi sikap integriti seseorang polis, biar apapun kedudukannya. 'Kekotoran' dalaman perlu diakui, diperlihatkan dan dicuci supaya ia tidak terus merebak menjadi barah.
“Selagi kita kerja ikhlas dan benar, perkara lain jangan ambil pusing,” tegas Ayob. Begitu prinsip yang dipegang ketika di Bukit Aman, begitu jugalah yang ingin diteruskan di Johor.
Saksikan temu bual eksklusif bersama Datuk Ayob Khan dalam Agenda AWANI
#Agenda Awani #PDRM #polis #Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay #Polis Diraja Malaysia #integriti #rakyat #Malaysia
;