Ranhill sediakan loji rawatan air mudah alih bantu mangsa banjir di Selangor

Astro Awani
Disember 22, 2021 18:10 MYT
Ranhill memaklumkan penyediaan loji rawatan mudah alih ini merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya selain kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). - Gambar ihsan Ranhill
KUALA LUMPUR: Terkesan dengan musibah banjir yang melanda negeri Selangor, Ranhill Utilities Berhad membantu mangsa banjir dengan menyediakan loji rawatan air mudah alih.
Dalam satu kenyataan, Ranhill memaklumkan dua unit loji rawatan air bersih mudah alih bersaiz 20’ dan 40’ ini bertindak untuk memproses air bersih untuk membantu menyediakan sumber alternatif air bersih terawat bagi kegunaan mangsa banjir.
Loji rawatan air bersih mudah alih itu ditempatkan di sekitar kawasan Hulu Langat yang terjejas teruk akibat kejadian bencana banjir baru-baru ini.
"Selain itu juga, loji rawatan air bersih mudah alih ini berupaya untuk menghasilkan sebanyak 5,000 liter air bersih terawat dalam masa satu jam dan secara tidak langsung ianya dapat memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 isi rumah sehari untuk akses air bersih.
"Sistem yang digunakan oleh loji rawatan air bersih mudah alih ini adalah sama seperti sistem rawatan air bersih di loji rawatan air dan oleh kerana itu kualiti air bersih terawat yang dihasilkan adalah menyamai kualiti standard air minum di Malaysia yang menjamin keselamatan bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir," menurut kenyataan tersebut.
Ranhill memaklumkan penyediaan loji rawatan mudah alih ini merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan akses air bersih untuk digunakan dalam keadaan yang sukar ini.
Ia juga merupakan kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta beberapa agensi-agensi kerajaan yang lain.
Hujan lebat tanpa henti sejak Jumaat menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat dilanda banjir.
#Ranhill Utilities Berhad #loji rawatan air mudah alih #mangsa banjir #Hulu Langat #KPLB
;