Rangkuman 5 Berita Utama: 9 Mac
Astro Awani
Mac 9, 2017 12:14 MYT
Mac 9, 2017 12:14 MYT
BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini (9 Mac 2017).
Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) mengumumkan tawaran tempoh cuti bersalin sehingga setahun yang berkuatkuasa serta merta untuk pekerja wanita yang layak.
Ini menjadikan kumpulan itu sebagai institusi kewangan pertama menawarkan faedah cuti bersalin yang membolehkan pekerja menyambung cuti tambahan daripada 90 hari bergaji penuh kepada tambahan tiga bulan dengan separuh gaji atau enam bulan tanpa gaji.
Kekecewaan yang dirasai atlet Olimpik negara, Zaidatul Husniah Zulkifli selepas rekod 11.36 saat yang dicatatkan minggu lalu tidak disahkan, terubat apabila berjaya mencatat rekod baharu, kali ini dalam kejohanan yang lain pula.
Zaidatul menang tempat kedua acara 100 meter Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan, dengan catatan masa 11.45 saat.
Seramai 705,562 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonan atas alasan mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bakal menerima bantuan tersebut pada minggu hadapan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jumlah tersebut merupakan mereka yang pernah menerima BR1M tahun lalu dan telah awal mendaftar dengan SSM.
Perbezaan pendapat di antara Malaysia dan Korea Utara perlu dibincangkan dan diselesaikan tanpa mengambil langkah-langkah ekstrem, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean.
Beliau mengulas perbalahan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, tiga minggu lepas, lapor Channel News Asia.
Bekas pelajar Harvard yang juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, akan memberi ucapan dalam majlis konvokesyen Universiti Harvard, Mei depan.
Zuckerberg menjadi bekas pelajar kedua universiti tersohor itu yang diberi penghargaan sedemikian, biarpun dia sendiri tidak sempat menghabiskan pengajian.