Rangkuman 5 Berita Utama: 7 Januari
Astro Awani
Januari 7, 2017 10:34 MYT
Januari 7, 2017 10:34 MYT
BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak dakwaan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tidak mengiktiraf graduan Diploma Vokasional Malaysia.
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata graduan kolej vokasional (KV) boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda melalui dua kaedah.
Rangkaian restoran makanan segera McDonald's di Singapura juga mengikuti langkah McDonald's Malaysia yang menetapkan peraturan bahawa semua kek hari lahir yang dibawa masuk oleh pelanggannya ke premis itu perlu memiliki pengiktirafan halal.
Portal berita Channel News Asia melaporkan, Pengarah Hubungan Kerajaan dan Komunikasi McDonald's Singapura, Faz Hussen, berkata peraturan itu telah dilaksanakan sejak tahun 1992, ketika semua restoran McDonald's di republik itu menerima pensijilan halal daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Kementerian Pendidikan membenarkan pelajar yang menghadapi masalah dokumentasi berkenaan status kewarganegaraan meneruskan pembelajaran sehingga proses pendaftaran selesai.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia bagi memastikan para pelajar berkenaan tidak tercicir dari mendapat kemudahan pendidikan.
Sekurang-kurangnya lima orang tebunuh dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale, Florida.
Dalam kejadian pada petang Jumaat waktu tempatan itu 11 orang lagi dilaporkan cedera. Menurut polis Florida penembak merupakan penumpang sebuah penerbangan milik Kanada.
Kerajaan negeri akan memberi sumbangan wang tunai kepada Mohd Faiz Subri yang merupakan anak jati Kedah, atas pencapaiannya tercalon sebagai finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.
Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Datuk Aminuddin Omar berkata, majlis penyampaian sumbangan itu sepatutnya diadakan Rabu lalu sempena sambutan Piala Malaysia di Sik, namun terpaksa ditanggguhkan kerana Mohd Faiz mempunyai komitmen lain ketika itu.
#Faiz Subri
#graduan vokasional
#Mahdzir Khalid
#mcdonald's singapura
#Puskas
#rangkuman berita utama
#serangan Ft Lauderdale