BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.

Graduan kolej vokasional boleh mohon IPT - KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak dakwaan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tidak mengiktiraf graduan Diploma Vokasional Malaysia.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata graduan kolej vokasional (KV) boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda melalui dua kaedah.

Kek yang dibawa masuk ke McDonald's Singapura juga perlu diiktiraf halal

Rangkaian restoran makanan segera McDonald's di Singapura juga mengikuti langkah McDonald's Malaysia yang menetapkan peraturan bahawa semua kek hari lahir yang dibawa masuk oleh pelanggannya ke premis itu perlu memiliki pengiktirafan halal.

Portal berita Channel News Asia melaporkan, Pengarah Hubungan Kerajaan dan Komunikasi McDonald's Singapura, Faz Hussen, berkata peraturan itu telah dilaksanakan sejak tahun 1992, ketika semua restoran McDonald's di republik itu menerima pensijilan halal daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Pelajar alami masalah dokumentasi boleh teruskan sekolah - Mahdzir Khalid

Kementerian Pendidikan membenarkan pelajar yang menghadapi masalah dokumentasi berkenaan status kewarganegaraan meneruskan pembelajaran sehingga proses pendaftaran selesai.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia bagi memastikan para pelajar berkenaan tidak tercicir dari mendapat kemudahan pendidikan.

5 terbunuh dalam kejadian tembakan di lapangan terbang Ft Lauderdale

Sekurang-kurangnya lima orang tebunuh dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale, Florida.

Dalam kejadian pada petang Jumaat waktu tempatan itu 11 orang lagi dilaporkan cedera. Menurut polis Florida penembak merupakan penumpang sebuah penerbangan milik Kanada.

Anugerah Puskas: Kedah sedia ganjaran kepada Faiz Subri

Kerajaan negeri akan memberi sumbangan wang tunai kepada Mohd Faiz Subri yang merupakan anak jati Kedah, atas pencapaiannya tercalon sebagai finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Datuk Aminuddin Omar berkata, majlis penyampaian sumbangan itu sepatutnya diadakan Rabu lalu sempena sambutan Piala Malaysia di Sik, namun terpaksa ditanggguhkan kerana Mohd Faiz mempunyai komitmen lain ketika itu.