Rangkuman 5 Berita Utama: 6 Januari
Astro Awani
Januari 6, 2017 11:18 MYT
Januari 6, 2017 11:18 MYT
BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, seorang rakyat Malaysia terkandas di Quito, Ecuador susulan dari keengganan beliau untuk membawa 'barangan' untuk diseludup ke Malaysia.
Muhammad Fariz R. Azli, 24, telah berada di Guayaguil selama hampir sebulan setengah sebelum menghubungi pihak Kedutaan Besar melalui saluran Facebook Kedutaan Besar pada 26 Disember 2016.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membatalkan hasrat untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaannya bagi membolehkan agensi itu kekal berstatus bebas, kata Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam.
Beliau berkata suruhanjaya itu berpendapat SPRM perlu kekal sebagai sebuah agensi 'betul-betul bebas' tanpa dikawal selia mana-mana agensi kerajaan.
Jabatan Hidupan Liar Sabah menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang dapat memberikan maklumat sahih membabitkan insiden dua spesies gajah mati akibat pemburuan haram untuk gading berhampiran Sungai Segama baru-baru ini.
Penolong Pengarahnya, Dr Sen Nathan berkata pihaknya akan memberi ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000 kepada individu yang dapat memberi maklumat tepat dan sahih berkaitan pemburuan haram berkenaan.
Seorang remaja perempuan dari Kampung Pangkalan Lutong di sini menjadi mangsa cabul kenalan lelaki yang baru dikenalinya selama lima hari melalui aplikasi sembang WeChat.
Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata kejadian berlaku pada 10.30 malam Rabu lepas apabila suspek, seorang lelaki berusia 20 tahun pergi ke rumah mangsa berumur 16 tahun itu.
Mahkamah Rayuan pada Khamis membenarkan rayuan kerajaan untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi yang membolehkan seorang wanita yang menjalani pembedahan tukar jantina diisytiharkan sebagai lelaki dan meminda digit terakhir dalam kad pengenalannya bagi menunjukkan jantina lelaki.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan rayuan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas mendapati rayuan itu mempunyai merit.
#dicabul kenalan wechat
#rakyat Malaysia
#rangkumana berita utama
#SPRM
#tajuk pilihan
#terkandas di ecuador