Rangkuman 5 Berita Utama: 30 Januari

Astro Awani
Januari 30, 2017 11:32 MYT
Berikut adalah antara tajuk berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.
BERIKUT adalah antara tajuk berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.
Seorang maut, dua parah gara-gara elak bangkai babi hutan
Seorang wanita maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 50 Jalan Kemaman - Kuantan berhampiran bandar Chukai, Kemaman.
Dalam kejadian jam 11.30 pada Ahad malam itu , mangsa Hamzatul Saira Juhari , 34, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
SAR cari enam mangsa bot karam di teruskan pagi ini - APMM
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam lagi mangsa bot pelancong jenis Catamaran yang karam ketika dalam perjalanan membawa pelancong warga China ke Pulau Mengalum, diteruskan pagi ini.
Menurut jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), operasi SAR yang disertai pelbagai agensi penguat kuasa dan keselamatan termasuk APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diteruskan seawal jam 7 pagi.
Perintah berkurung di ESSZone dilanjut hingga 15 Februari
Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 15 Februari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata dengan perlanjutan yang bermula esok (Selasa), mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut antara 6 petang hingga 6 pagi.
Putera William, Harry izinkan pembinaan patung Puteri Diana
Putera-putera mendiang Puteri Diana merancang untuk membina patung ibu mereka sempena mengingati ulang tahun ke-20 pemergiannya dalam insiden kemalangan di Paris pada 1997.
Putera William dan Harry telah memberi izin bagi pembinaan patung itu, yang akan dibiayai menggunakan dana persendirian serta dibina di dalam kawasan taman awam Istana Kensington yang pernah didiami Diana di London.
Insiden lelaki maut dibaham harimau dirakam pengunjung zoo
SEORANG pengunjung taman hidupan liar di China mati dibaham harimau selepas memasuki kawasan kandangnya. Insiden tersebut berlaku di Taman Hidupan Liar Youngor di bandar Ningbo, kira-kira 200 kilometer dari Shanghai.
Sebuah video yang dimuat naik ke laman YouTube menunjukkan lelaki berkenaan diserang sebelum dibaham seekor harimau, sementara dua ekor harimau lagi turut berada berdekatan.
#bot karam #ESSZONE #perintah berkurung #Puteri Diana #rangkuman berita utama #SAR
;