Rangkuman 5 Berita Utama: 3 Januari
Astro Awani
Januari 3, 2017 11:38 MYT
Januari 3, 2017 11:38 MYT
BERIKUT adalah antara tajuk-tajuk berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini di Astro AWANI.
Keadaan banjir di Kelantan kembali buruk dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat mendadak malam tadi.
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 39 pusat pemindahan banjir kini mencecah 3,674 orang melibatkan 1,285 keluarga.
Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan kereta dipandu pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) di KM15, Jalan Sungai Mati-Bukit Gambir, Serom, dekat Tangkak, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata kejadian berlaku kira-kira 8.05 malam, namun, pemain JDT itu, Muhammad Fazly Mazlan, 23, yang memandu kereta jenis Audi S5 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Anggota delegasi Program Pertukaran Sains dan Teknologi Negara Islam (STEP) bersetuju menubuhkan hab dalam talian sebagai platform untuk mewujudkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi serta menjadi akses bagi amalan terbaik dalam kalangan mereka.
Mereka juga bersetuju mewujudkan sebuah tabung wakaf untuk membiayai aktiviti berkaitan sains dan teknologi di negara Islam.
Mara bina MRSM dI Sik, Kedah tahun ini - Annuar
Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sik, Kedah pertengahan tahun ini, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.
Annuar dalam kenyataan pada Isnin berkata pemilihan tapak pembinaan MRSM itu telah dimuktamadkan dua minggu lepas.
Baru baru ini seorang ‘bintang ekstrem’ YouTube yang sering melakukan aksi terjun ke dalam kolam renang dari aras tinggi sudah menerima padahnya.
Lelaki berkenaan yang menggunakan nama 8Booth dalam akaun YouTube itu merancang untuk melompat ke dalam sebuah kolam renang dari aras bumbung bangunan tiga tingkat.