Rangkuman 5 Berita Utama: 23 Februari
Astro Awani
Februari 23, 2017 11:26 MYT
Februari 23, 2017 11:26 MYT
BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini (23 Februari 2017).
Sebagai langkah keselamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands memasang 'sawar' atau pita keselamatan di laluan serta kawasan berisiko pendaki sesat atau cedera di trek Gunung Irau.
Ia tindakan penambahbaikan susulan kes kehilangan seorang pendaki wanita, Norfatin Sulaiman, 29, yang sesat ketika menuruni trek di gunung berkenaan pada Sabtu lalu.
Hyon Kwang Song, yang dikenal pasti polis sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia, dan sedang dicari untuk membantu siasatan berhubung kematian Kim Jong Nam, tidak tersenarai sebagai staf kedutaan itu.
Semakan terhadap senarai Perwakilan Diplomatik dan Konsul Malaysia yang terdapat dalam laman sesawang Kementerian Luar menunjukkan individu yang menyandang jawatan setiausaha kedua di kedutaan itu bernama Yu Yong Nam.
TunkuMahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan hanya memerlukan tempoh satu penggal untuk meningkatkan mutu bola sepak negara jika memperoleh mandat sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kongres ke-53 badan itu, 23 Mac nanti.
Sentuhan Tunku Ismail sudah terbukti selepas menyaksikan kebangkitan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia.
Ahli astronomi telah menemui sistem solar dengan tujuh planet bersaiz Bumi, dan tiga daripadanya mengelilingi bintang dalam jarak yang bersesuaian bagi permukaan bercecair, lapor Reuters.
Ciri tersebut sekali gus meningkatkan prospek penemuan hidupan di angkasa lepas, kata satu kertas kajian yang diterbitkan pada Rabu.
Bandar Raya New York membelanjakan kira-kira AS$24 juta (RM107 juta) untuk kos kawalan keselamatan di Trump Tower, iaitu kediaman pencakar lamngit milik Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Manhattan.
Reuters yang memetik Pesuruhjaya Polis New York melaporkan, kos harian kira-kira AS$308,000 (RM1.37 juta) itu dikira sejak permulaan hari mengundi sehingga hari beliau mengangkat sumpah.