Rangkuman 5 Berita Utama: 21 Februari
Astro Awani
Februari 21, 2017 11:41 MYT
Februari 21, 2017 11:41 MYT
BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini (21 Februari 2017).
Pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedikit kecoh awal pagi ini apabila polis menahan seorang pengamal media asing yang 'berkampung' bersama puluhan media yang membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Jurukamera Korean Broadcasting System (KBS) itu ditahan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, DSP M. Gunalan selepas empat kenderaan pacuan empat roda polis bersama sepasukan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) tiba di situ pada pukul 1.40 pagi.
Penasihat DAP Lim Kit Siang bermain politik apabila menawarkan diri secara bersyarat untuk menyertai siasatan mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia pada sekitar 1990-an, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Kit Siang sebaliknya harus menyertainya dengan niat ikhlas jika beliau benar-benar berhasrat untuk membantu pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kabinet untuk menyiasat kerugian itu.
Pendaki wanita, Norfatin Sulaiman, 29, yang dilapor sesat di Gunung Irau, Cameron Highlands pada Sabtu hanya bertahan dengan berbekalkan coklat yang dibawa bersamanya ketika melakukan aktiviti pendakian di gunung berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhamad Haziq Hazmi memaklumkan mangsa berjaya dibawa keluar sekitar 10 malam semalam selepas lebih 44 jam sesat dan telah dibawa ke Hospital Cameron Highlands untuk mendapatkan rawatan.
Kisah seorang seniman FIlipina, Poklong Anading, yang menjadikan persekitaran bandar yan didiaminya sebagai sumber inspirasi untuk berkarya.
Di bandar di mana tragedi dan drama berada begitu hampir di permukaannya, Poklong telah berjaya mencipta karya-karya seni yang merupakan esei yang cukup indah berkenaan soal kehilangan, pembuangan dan jati diri.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan Leftenan Jeneral Herbert Raymond McMaster sebagai Penasihat Keselamatan Negara yang baharu.
Pelantikan yang dilakukan di Palm Beach, Florida itu susulan Michael Flynn meletak jawatan pada minggu lepas.
#Donald Trump
#forex
#Jong Nam
#Korea Utara
#pendaki gunung irau
#poklong anading
#rangkuman berita utama