Rangkuman 5 Berita Utama: 21 Disember
Astro Awani
Disember 21, 2016 09:33 MYT
Disember 21, 2016 09:33 MYT
BERIKUT adalah rangkuman berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan supaya format paparan keputusan pada slip peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) diubah pada masa depan.
Beliau berkata di muka depan slip peperiksaan PT3 sekarang hanya memaparkan keputusan akademik manakala elemen psikometrik, kokurikulum dan sukan yang merupakan komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diletakkan di bahagian belakang.
Anggota keluarga dan waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 hari ini berharap usaha pencarian bangkai pesawat MH370 diteruskan dengan menumpukan di kawasan baharu yang paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu.
Ini berikutan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang yakin kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan pencarian semasa, bukan merupakan tempat terletaknya bangkai pesawat MH370, yang hilang pada 8 Mac 2014.
Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini mengumumkan penajaan bagi tempoh empat tahun untuk atlet terjun Olimpik negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.
Tajaan itu bermula pada 2016 sehingga temasya Olimpik akan datang pada 2020 di Tokyo.
Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan 70 lagi cedera dalam letupan pasar mercun di ibu negara Mexico pada Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan.
Lapor Reuters, letupan tersebut di pasar mercun San Pablito di Tultepec, kira-kira 32 kilometer di utara Mexico City.
Kita berada dalam bencana politik gelap gelita dan mengelirukan. Berita tersebar melalui media sosial dalam ruang lingkup langit terbuka, tetapi ramai yang memperkecilkan petunjuk Al-Quran supaya bertabayyun.
Apa yang membakar bumi Aleppo dan menjadi berita hangat terkini terdengar laksana pencuri memekik perkataan "pencuri" di tengah suara orang yang mengejarnya di waktu malam gelap, memudahkan pencuri sebenar melepaskan diri sambil melaungkan perkataan pencuri.