Rangkuman 5 Berita Utama: 20 Februari
Astro Awani
Februari 20, 2017 11:56 MYT
Februari 20, 2017 11:56 MYT
BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini (20 Februari).
Usaha bagi mencari Norfatin Sulaiman, 28, pendaki yang sesat sejak Sabtu di Gunung Irau, Cameron Highlands masih giat dijalankan.
Setakat pagi Isnin, mangsa sudah hilang lebih 40 jam dalam hutan kawasan gunung berkenaan.
Namun menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhamad Haziq Hazmi, terdapat penemuan positif berhubung pencarian mangsa.
Dua bekas penerjun Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara Putera UMNO 2007 meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa meminggirkan mereka selepas berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Mohd Khashian Khan Omar Khan, 30, dan Noraffani Noordin, 34, berasal dari Pulau Pinang berkata, selepas 10 tahun mereka bersama 10 bekas penerjun terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan.
Sebuah rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan pembunuhan Kim Jong Nam di aras pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tersebar di media sosial.
Ia menjadi tular selepas media asing menyiarkan rakaman daripada kamera litar tertutup CCTV sejak malam Ahad. Stesen televisyen Jepun, Fuji TV, didakwa merupakan yang pertama menayangkan video tersebut, pada Ahad.
Bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menyarankan agar semua orang Islam di Malaysia memberi fokus kepada menonjolkan keindahan Islam sebagai agama yang melengkapi segenap aspek kehidupan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menegaskan, semua orang perlu menggali semula sejarah pada peringkat awal Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Kedutaan Sweden di Washington telah meminta Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menjelaskan tentang komen daripada Presiden Donald Trump yang seolah-olah menggambarkan insiden berkaitan keselamatan terjadi di Sweden pada Jumaat.
Trump berucap dalam satu rapat umum di Florida pada Sabtu dan ketika mengulas tentang keperluan memastikan AS terus aman dan selamat, dia berkata: “Lihatlah apa yang berlaku di Jerman. Anda lihat apa yang berlaku malam tadi di Sweden.
Trump bagaimanapun tidak memperincikan tentang ‘hal di Sweden' yang dikatakannya itu, yang membuatkan ramai rakyat Sweden terpinga-pinga kerana tiada perkara yang melibatkan isu keselamatan dilaporkan di negara Scandinavia itu.