Rangkuman 5 Berita Utama: 14 Februari

Astro Awani
Februari 14, 2017 11:36 MYT
Rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini (14 Februari 2017).
BERIKUT adalah rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini (14 Februari 2017).
Kapal Nautical Aliya selamat sampai di Pelabuhan Chittagong
Misi Kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar selamat tiba dekat Pelabuhan Chittagong pada 12 tengah malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia).
Kapal Nautical Aliya yang membawa lebih 180 sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan yang membabitkan 12 buah negara kini bersauh di perairan Chittagong sebelum dibawa untuk berlabuh pada 9 pagi Selasa.
Debaran cinta di Nautical Aliya
Menyebut tentang harapan, rata-rata sukarelawan berasa teruja dan berdebar apabila mendekati Chiittagong. Bagi mereka, itulah satu-satunya peluang terdekat untuk mendalami nasib golongan yang disasarkan bantuan tersebut.
Bagi seorang sukarelawan, rasa cinta yang mendalam terhadap Malaysia menjadikannya mahu terus berjuang menyedarkan rakyat Malaysia akan pentingnya menghargai perkara yang dimiliki negara sendiri.
KL ATCC jadi mercu tanda penting industri penerbangan awam negara
Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) yang dijangka siap pada hujung tahun 2019 bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara sekali gus membentuk sebuah lagi detik penting dalam transformasi negara.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, projek KL ATCC yang menelan belanja RM650 juta, apabila siap dibina, akan merupakan titik permulaan pelaksanaan penstrukturan semula Ruang Udara Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR).
Ahmad Razif tolak pencalonan timbalan presiden FAM
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada Isnin memutuskan tidak bertanding dan menolak pencalonan jawatan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu berkata penolakan itu bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri dan bola sepak Terengganu.
Protes sambutan Hari Kekasih ketara di sesetengah negara Asia
Mahkamah Pakistan telah melarang sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih secara terbuka di Islamabad sementara pelajar-pelajar di Indonesia mengadakan tunjuk perasaan supaya orang ramai memboikot sambutan tersebut.
Perkembangan tersebut adalah antara contoh penolakan budaya berkenaan di sesetengah negara di Asia, lapor AFP.
#Ahmad Razif #FAM #Hari Valentine #KL ACCC #misi kemanusiaan #Nautical Aliya #rangkuman berita utama
;