Rangkaian telekomunikasi Sarawak: Ini reaksi rakyat Bumi Kenyalang

Astro Awani
November 21, 2020 18:26 MYT
Cadangan Abang Johari mewujudkan rangkaian telekomunikasi ini mampu mengecilkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar selain memudahkan urusan rakyat yang kini semakin bergantung kepada internet. - Foto BERNAMA
KUCHING: Rancangan Sarawak untuk memiliki rangkaian telekomunikasinya disuarakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Khamis.
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, cadangan berkenaan amat dinantikan penduduk khususnya di luar bandar yang berdepan kekangan untuk mendapatkan perkhidmatan internet.
Apa tidaknya, situasi global ketika ini susulan ancaman pandemik COVID-19 menyaksikan internet kini satu keperluan bukan lagi kehendak.
Hampir semua sektor kini bergantung kepada internet termasuk pendidikan. Lantaran itu cadangan Abang Johari ini disambut baik warga pendidik.
Bagi Penolong Kanan Pentadbiran dan Pengurusan Akademik SK Pulau Seduku, Ahmad Faizal Osman, norma baharu proses pengajaran dan pembelajaran susulan COVID-19 menyaksikan betapa pentingnya liputan jalur lebar dipertingkatkan.
“Memandangkan norma baharu pendidikan sekarang sudah berubah, dimana kita tidak lagi mengajar secara bersemuka, tetapi secara atas talian, dan luar talian.
“Jadi dengan adanya rangkaian internet dari Sarawak ni, kita harap pembelajaran akan berjalan dengan lebih sempurna,” ujarnya.
Perkara itu turut dipersetujui Guru Besar SK Segali Simunjan, Osman Zaini yang menyifatkan pimpinan kerajaan negeri begitu prihatin nasib golongan pendidik dan pelajar khususnya di luar bandar.
“Kita juga bersetuju supaya rangkaian ataupun jaringan internet ini harus diperluaskan lagi rangkaiannya terutamanya untuk sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Perniagaan atas talian pastinya antara yang paling menerima impak positif jika cadangan ini mampu dilaksana.
Ini kerana perniagaan ini memerlukan perhidmatan internet yang cekap dan pantas.
Menurut Nur Jasmin Baijuri, jika kerajaan Sarawak mampu menyediakannya, ia dianggap satu lagi hadiah bermakna buat peniaga sepertinya.
“Sekiranya Sarawak mempunyai rangkaian telekomunikasi sendiri, ia sangat membantu kami memasarkan produk kepada orang orang yang berada di luar bandar.
“Ini kerana ketika ini pelanggan kami kebanyakannya dari semenanjung,” jelasnya.
Abang Johari dalam temubual bersama sebuah stesen televisyen tempatan di sini memaklumkan keputusan untuk memiliki rangkaian telekomunikasi ini bertujuan untuk memperluaskan khidmat jaringan jalur lebar khasnya di luar bandar.
Ia sebagai jalan keluar selepas keengganan syarikat telekomunikasi sedia ada memperluaskan khidmat mereka ke kawasan tersebut atas permintaan yang kurang memberangsangkan.
Baca: Sarawak rancang miliki rangkaian telekomunikasi sendiri
#Sarawak #Internet #COVID-19 #telekomunikasi #komunikasi #pengajaran dan pembelajaran #pendidikan #pandemik #kerajaan
;