Rangkaian pusat kanser diperluas di Kedah, Sarawak - Fadillah

Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 5, 2024 11:00 MYT
Fadillah berkata kerajaan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti. - Foto Facebook/Fadillah Yusof
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang berusaha untuk memperluaskan rangkaian pusat kanser di Malaysia.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, selari dengan usaha itu, dua pusat baharu yang akan ditubuhkan ialah Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah dan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan, Sarawak.
"Di peringkat kerajaan, kami komited untuk memastikan servis dan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
"Dalam konteks kanser, satu lagi Institut Kanser di Kedah akan direncanakan dan satu lagi di Sarawak. Dengan adanya institut kanser di Sarawak, sekurang-kurangnya rakyat di Borneo dapat menerima khidmat tersebut.
"Bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, tetapi negara jiran juga seperti Brunei dan Kalimantan akan terima faedah tersebut. Di Kedah sudah pasti dapat membantu di zon utara. Untuk masa-masa akan datang banyak lagi yang akan kita usahakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Karnival Pink Oktober Institut Kanser Negara (IKN) 2024, di Putrajaya pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Fadillah berkata kerajaan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti.
Justeru, katanya sumber akan terus diperuntukkan bagi meningkatkan penyelidikan, kemudahan rawatan serta program pencegahan kanser memandangkan beban yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga.
Beliau berkata berdasarkan Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia yang terkini, kanser payudara terus menjadi ancaman utama bagi golongan wanita di negara ini dengan statistik menunjukkan kekerapan tertinggi iaitu 38.9 bagi setiap 100,000 wanita pada 2017-2021.
Katanya secara amnya, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kanser yang dilaporkan antara 2017 hingga 2021.
Oleh itu, Fadhillah berkata amat penting untuk memperkukuh usaha bagi meningkatkan kesedaran, pencegahan, diagnosis awal, dan yang paling utama, memastikan rawatan berkualiti diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Karnival Pink Oktober tahun ini bertemakan "Living Well, Living Together", mengangkat nilai kesedaran, kekuatan dan kebersamaan yang menekankan pentingnya pencegahan, pengesanan awal, dan rawatan yang tepat serta berkesan.
#rangkaian pusat kanser #Fadillah Yusof #perkhidmatan #terkini
;