Rangkaian Celcom bermasalah, pengguna desak SKMM siasat
Firdaus Azil
Oktober 4, 2020 18:35 MYT
Oktober 4, 2020 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna Celcom hari ini terpaksa menghadapi kesulitan hampir tiga jam, ekoran gangguan secara menyeluruh untuk perkhidmatan data dan suara di seluruh negara.
Dalam tempoh tiga jam itu, pengguna tidak menerima langsung sebarang data, dan ada antara mereka yang hanya boleh membuat panggilan kecemasan.
Dalam ciapan ringkas di akaun rasmi Twitternya pada pukul 4.30 petang Ahad, Celcom berkata, gangguan itu adalah disebabkan isu teknikal dan mereka sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.
Susulan kekerapan masalah teknikal yang melanda pengguna Celcom tahun ini, ada antara pengguna yang menggesa agar pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masuk campur dan mengenakan denda yang tinggi terhadap penyedia perkhidmatan itu.
Seorang pengguna Celcom, Mohd Faizal Hassan dalam ciapan susulan berkongsi pautan dari laman web rasmi SKMM bahawa Celcom telah mempunyai 24 kompaun bernilai RM1.2 juta, setakat suku kedua tahun ini.