Rangkaian 5G Pulau Pinang capai lebih 80 peratus hujung tahun ini
Bernama
Julai 23, 2023 15:11 MYT
Julai 23, 2023 15:11 MYT
BUTTERWORTH: Rangkaian 5G di Pulau Pinang akan melebihi 80 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) setelah siapnya semua infrastruktur komunikasi menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata sasaran Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) adalah untuk membangunkan 470 menara 5G di Pulau Pinang dan setakat ini yang telah siap dibina adalah 290.
Menurutnya, sebanyak 244 menara 5G di Pulau Pinang telah mula beroperasi dan pencapaian perkhidmatan 5G di kawasan berpenduduk di negeri ini telah mencapai 67.7 peratus.
"Ini bermakna Pulau Pinang telah mendahului purata capai 5G di seluruh negara iaitu setakat ini 64.7 peratus dan sasaran adalah untuk mencapai 80 peratus pada hujung tahun ini. Pulau Pinang akan melebihi 80 peratus capaian 5G pada hujung tahun nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pihak KKD akan bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk memastikan sasaran 80 peratus capaian 5G di seluruh negara akan tercapai pada hujung tahun ini.
Terdahulu, Teo telah merasmikan Program Merdeka @ Komuniti di Parlimen Bagan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.
Selain itu, Teo berkata semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang termasuk di Parlimen Bagan, akan mempunyai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) selewat-lewat Januari tahun depan.
Beliau berkata kini terdapat 911 PEDi di seluruh negara namun di Pulau Pinang hanya mempunyai tiga PEDi sahaja.
"Hasrat kami adalah untuk membangunkan satu PEDi di setiap DUN dan di Pulau Pinang akan ada lebih kurang 38 PEDi. Kami sedang dalam proses tender dan semua PEDi di Pulau Pinang dijangka akan mula beroperasi pada Februari tahun depan," katanya.
PEDi merupakan inisiatif utama KKD untuk komuniti setempat dalam memupuk penggunaan Internet secara positif dan membuka peluang kepada semua bagi mempelopori perniagaan secara dalam talian atau melalui platform e-dagang.
-- BERNAMA