Rangkaian 5G kedua Malaysia mungkin ditangguh

Amanz
Mac 13, 2024 07:20 MYT
Pembentukan rangkaian 5G kedua berdepan beberapa isu termasuk penggunaan kelengkapan Huawei dan ZTE memandangkan AS dan EU masing-masing mengeluarkan amaran supaya tidak menggunakan kelengkapan dua syarikat China ini atas faktor keselamatan.
MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pelancaran rangkaian 5G kedua negara mungkin ditangguhkan walaupun Digital Nasional Berhad (DNB) sudah mencapai liputan 80 peratus seperti perancangan sebelum ini.
Bercakap pada sidang media di kementeriannya semalam, Fahmi berkata penangguhan itu juga adalah untuk lembaga DNB dibentuk terlebih dahulu.
Lima pengendali rangkaian mudah alih utama - CelcomDigi Berhad, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Power International Berhad - telah menandatangani pegangan ekuiti DNB pada awal Disember tahun lalu.
Liputan 80% DNB telahpun dicapai Januari lalu dengan ramai menyangka rangkaian 5G kedua sudahpun diumumkan pada ketika ini.
Pembentukan rangkaian 5G kedua ini berhadapan beberapa isu antaranya ialah penggunaan kelengkapan Huawei dan ZTE.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) masing-masing mengeluarkan amaran kepada negara untuk tidak menggunakan kelengkapan dua syarikat China ini atas faktor keselamatan.
Pada ketika itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengatakan kerajaan tidak akan menghalang penggunaan kelengkapan telekomunikasi China untuk rangkaian 5G kedua negara.
#5G Kedua #syarikat China #Amerika Syarikat #DNB
;