Rangka undang-undang bagi keusahawanan sosial - Khairy
Anthea Yap
Julai 1, 2015 06:36 MYT
Julai 1, 2015 06:36 MYT
Satu rangka undang-undang dan badan kawal selia perlu diwujudkan untuk menjadikan keusahawanan sosial satu entiti yang diiktiraf di Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pembabitan golongan belia dalam meraih peluang keusahawanan sosial setakat ini masih di tahap yang rendah.
Menurutnya, antara punca keusahawanan sosial masih tidak mendapat tempat ialah pengiktirafan undang-undang dan sokongan struktur polisinya yang tidak jelas.
Ia berikutan struktur sedia ada setakat ini tidak menyokong organisasi keusahawanan sosial.
Bagi mengatasi perkara ini katanya kerajaan perlu mempercepatkan rangka perundangan bagi memberi pengiktirafan terhadap organisasi itu.
“Sekarang ini seorang usahawan sosial terpaksa berdaftar sebagai syarikat ataupun sebagai sebuah Yayasan tetapi keusahawanan sosial tidak mempunyai satu entiti yang sah dari segi undang-undang.
"Berbeza di Thailand, mereka mempunyai satu kategori seperti keusahawanan sosial jadi kita perlu segerakan rangka undang-undang," kata Khairy Jamaluddin yang ditemui selepas majlis sesi dialog "wise word" bersama keusahawan sosial MAGIC di Cyberjaya, pada Rabu.
Jelasnya, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC) kini sedang membuat perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi merangka undang-undang berkaitan perkara itu.
Sehubungan itu, kementeriannya juga akan berkerjasama dengan MAGIC bagi menyediakan pelbagai program pendidikan untuk menarik lebih ramai golongan belia membabitkan diri dalam keusahawanan sosial.
Katanya lagi, program rakan muda akan menjadi paltform bagi tujuan itu.
Setakat ini, 100 usahawan sosial telah berdaftar dengan MAGIC dan jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 200 hujung tahun ini.
Keusahawanan sosial adalah satu entiti yang mengaplikasikan model perniagaan dengan menggabungkan elemen pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berteraskan keuntungan.