Rangka remaja perempuan prasejarah dijumpai di Gua Chawan, Kelantan

Nailah Huda
Disember 17, 2018 13:08 MYT
Sejak dijumpai 2 November lalu, rangka manusia ini dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November dan kini melalui kerja-kerja merekod dan pemuliharaan rangka di makmal sementara konservasi JWN. - Motac
Rangka manusia prasejarah berusia antara 6,000-8,000 tahun dan dipercayai seorang remaja perempuan dijumpai di tapak Gua Chawan, Lembah Nenggiri, Kelantan pada 2 November lalu.
Rangka dari zaman Mesolitik itu merupakan salah satu penemuan dalam ekskavasi arkeologi yang dijalankan pasukan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama ahli kakitangan Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara (JWN), serta penyelidik Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Penemuan rangka manusia prasejarah Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini adalah penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baru terhadap amalan pengkebumian dan budaya kehidupan zaman presejarah di Malaysia," ujar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Pengumuman yang dibuat di Bangunan Sultan Abdul Samad pada Isnin itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah/Pesuruhjaya Warisan ke Jabatan Warisan Negara, Datuk Zainah Ibrahim serta wakil Menteri Besar Kelantan dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Menurut JWN, rangka itu dikebumikan dengan kedua-dua bahagian kaki dan kepala dilapikkan dengan batu kapur manakala tangan kanan pula memegang makanan berupa siput serta alat repeh.
Antara artifak lain yang ditemui bersama rangka tersebut ialah alat litik, sisa makanan berupa tulang binatang, dan cengkerang siput (brutia costula) serta serpihan tembikar tanah.
Sejak dijumpai 2 November lalu, rangka manusia ini dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November dan kini melalui kerja-kerja merekod dan pemuliharaan rangka di makmal sementara konservasi JWN.
Beliau menambah: “Sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik."
Menurut Zainah, rangka manusia ini serta jumpaan lain akan dipamerkan di galeri yang akan dibinakan di kawasan Gua Musang dalam sekitar 4-5 tahun depan apabila semua jumpaan ekskavasi arkeologi telah lengkap.
#arkeologi #Datuk Mohamaddin Ketapi #ekskavasi #gua chawan #Jabatan Warisan Negara #Kelantan #mesolitik #MOTAC #prasejarah #rangka manusia
;