Rangka pendidikan Taylor's persiapkan graduan mendepani revolusi IR 4.0
Haikal Raman
Mac 10, 2020 19:19 MYT
Mac 10, 2020 19:19 MYT
Transformasi pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan peredaran teknologi semasa, ditambah pula dengan agenda Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang berlaku ketika ini.
Perkara berkenaan adalah bagi memastikan graduan tempatan terus mempunyai peluang kebolehpasaran yang luas dalam industri pekerjaan di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
Prihatin terhadap keperluan untuk mendepani cabaran gelombang IR 4.0 itu, institusi pengajian tinggi berprestij, Taylor’s University (Taylor’s) terus melangkah dalam menyediakan akses pendidikan cemerlang kepada para pelajar.
Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Akademik Taylor's, Prof Dr Pradeep Nair berkata, pihaknya kekal komited menawarkan kurikulum terbaik kepada para pelajar menerusi Rangka Kerja Kurikulum Taylor’s (TCF).
“Kurikulum terbaharu yang diperkenalkan ini membolehkan mereka memilih sendiri kursus-kursus dari pelbagai cabang disiplin yang berbeza. Ia merupakan konsep kurikulum pertama seumpamanya di Malaysia dan rantau asia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada Hari Terbuka Future Movement yang dianjurkan Taylor’s Sabtu lalu.
Kurikulum TCF memberi peluang kepada pelajar untuk terus meluaskan pengalaman pendidikan mereka malah, ia membolehkan mereka menjalani satu semesta pengajian di luar negara menerusi 200 rakan kerjasama universiti Taylor’s tanpa sebarang yuran pengajian tambahan.
Tambah Nair, pihaknya juga yakin bahawa revolusi pendidikan pada masa hadapan bakal wujud ijazah yang bersifat multi disiplin.
“Kami yakin ijazah multi disiplin akan wujud pada masa akan datang. Justeru itu, Taylor’s akan memperkenalkan ijazah multi disiplin yang pertama kami iaitu Ijazah Rekaan dan Pembangunan Robotik yang menggabungkan tiga teras utama iaitu kejuruteraan mekanikal, elektrik dan elektronik serta sains sosial.
“Lebih banyak lagi ijazah multi disiplin akan diperkenalkan pada tahun-tahun akan datang, ia selaras dengan langkah persediaan dan strategi Pendidikan Taylor’s dalam mendepani era IR 4.0 negara,” jelasnya.
Sementara itu, Taylor’s berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung ke acara Hari Terbuka Future Movement bagi edisi ketiga lalu dengan kerjasama eksklusif SneakerLAH.
Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan TCF, boleh layari di laman sesawang Taylor's University
#Future Movement
#IPT
#kurikulum
#Malaysia
#pendidikan
#Pradeep Nair
#risers
#taylor's
#tcf
#Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Akademik Taylor's