Rangka pelan penyelesaian tangani isu rumah - PM

Umavathi Ramayah
April 29, 2022 14:19 MYT
Kerajaan komited bagi menyediakan rangka penyelesaian kepada masalah peningkatan kos binaan secara mendadak, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan penyelesaian kepada isu pembelian dan pemilihan rumah susulan peningkatan kos binaan mendadak akibat konflik Rusia-Ukraine.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedar bahawa kediaman merupakan keperluan mendesak kepada Keluarga Malaysia.
"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang sudah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini.
"Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat.
"Sehubungan itu, MPMMN akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi PR1MA -Astrum Ampang di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Fathul Bari Mat Jahya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat.
Justeru, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit (TOD).
"Kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30).
"Astrum Ampang, merupakan contoh kediaman mampu milik yang mempunyai akses kepada rel Laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang-Sri Petaling, Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buluh Kajang selain bakal disambung dengan MRT Sungai Buloh-Putrajaya dan LRT 3," katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, aspirasi kerajaan adalah untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia di bawah RMK-12 sebagai usaha merealisasikan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.
Beliau berkata, aspirasi itu sangat dekat di hatinya dan kerajaan memahami kerisauan anak muda untuk mempunyai tempat berteduh terutamanya selepas mereka bersara.
"Kebanyakan kediaman yang dibangunkan ketika ini di luar kemampuan mereka yang baru sahaja memulakan pekerjaan.
"Berdasarkan harga pasaran semasa, harga rumah semakin meningkat ditambah dengan kedudukan kewangan yang tidak kukuh, sukar untuk golongan ini memiliki rumah sendiri," katanya.
Astrum Ampang, sebuah projek pembangunan bercampur, akan dibangunkan oleh Astrum Ampang Sdn Bhd manakala PR1MA bertindak sebagai pelabur dan rakan usaha sama.
Daripada keseluruhan projek, satu daripada empat fasa pembangunannya dikhususkan bagi kediaman PR1MA dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM180.80 juta.
Bagi projek ini, sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (SOHO) dan apartmen khidmat di bawah PR1MA akan ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi serta dijangka siap pada tahun 2026.
Selain harga mampu milik, pembeli turut menikmati pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan.
#kos pembinaan #rumah mampu milik #ismail sabri yaakob
;