Rangka manusia tapak arkeologi Guar Kepah akan dibawa pulang dari Belanda

Bernama
Mac 29, 2023 07:30 MYT
MOTAC berkata rangka-rangka ini akan dibawa pulang ke Malaysia tahun depan untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang sedang dibangunkan. - Gambar fail/ Bernama
GEORGE TOWN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang bakal membawa pulang khazanah warisan negara yang disimpan di negara Belanda iaitu bahagian-bahagian daripada rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Dalam kenyataan hari ini, MOTAC berkata, rangka-rangka ini dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia tahun depan untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang sedang dibangunkan.
"Dengan kembalinya rangka-rangka ke tapak asal ia dijumpai, galeri dan tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara selain menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi mengenai salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai.
"Ini juga akan membuka ruang untuk penyelidikan lanjut ke atas rangka-rangka dan tapak prasejarah Guar Kepah. Diharapkan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah akan menjadi produk pelancongan yang mesti dilawati sempena Tahun Melawat Malaysia 2025," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa satu majlis simbolik membuka kotak yang mengandungi rangka-rangka berkenaan telah diadakan pada 22 Mac lepas di Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda, The Hague, Belanda, yang dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke negara itu, Datuk Nadzirah Osman serta delegasi kerajaan negeri yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy.
Menurut kenyataan itu, turut diadakan adalah penyerahan surat persetujuan Kerajaan Belanda untuk mengembalikan bahagian-bahagian rangka tersebut kepada Kerajaan Malaysia yang telah disampaikan oleh Pengarah Dasar Antarabangsa, Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda, Gerbert Kunst.
"Kementerian amat kagum dengan kepantasan proses ini dan memuji keputusan yang diambil oleh Kerajaan Belanda untuk memulangkan objek yang mempunyai nilai warisan kepada negara asal. Diharapkan usaha ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara terutama dalam bidang seni, budaya dan warisan.
"Penghargaan turut dirakamkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Belanda atas segala Kerjasama yang diberikan dalam usaha mengembalikan khazanah warisan negara ke tanah air," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Belanda #Khazanah #MOTAC #pelancongan
;