Rangka manusia lengkap berbaju ditemui di Padang Rengas

Nazialita Geynna Maharan
Disember 16, 2015 18:55 MYT
Polis berkata rangka mayat tersebut ditemui dalam keadaan lengkap berbaju oleh seorang tukang mesin rumput sekitar 10 pagi.
Polis menemui rangka manusia disyaki seorang lelaki di bawah jambatan berhampiran Gunung Pondok, Padang Rengas di sini pada pagi Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superitendan Azry Akmar Ayob berkata polis mendapat maklumat mengenai penemuan itu daripada seorang tukang kebun rumput pada kira-kira jam 10 pagi.
Rangka berkenaan dijumpai di dalam sebuah plastik di kawasan semak ketika sedang menebas di situ.
"Berdasarkan siasatan awal dari pakaian baju dan seluar mangsa, kami mengesyaki rangka itu dipercayai seorang lelaki namun kami masih tidak boleh membuat sebarang andaian lagi.
"Kami hanya menemui sebilah pisau pemotong buah di bahagian bawah rangka dan tiada sebarang pengenalan diri dijumpai pada mangsa,"katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI, di sini pada Rabu.
Menurut Azry, tempoh mangsa berada di lokasi kejadian tidak dapat disahkan berikutan ianya hanyalah sekujur rangka tulang justeru bedah siasat akan dijalankan segera.
Katanya, tukang mesin rumput mendakwa dia telah membuat kerja memotong semak pada 16 November lepas namun tidak menemui rangka itu sebelum ini.
"Rangka akan dihantar ke Jabatan Forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi tujuan mengenalpasti identiti.
"Buat masa ini, kami masih lagi mengklasifikasikannya di bawah kes mati mengejut dan siasatan lanjut akan dijalankan segera," katanya.
#jenayah #mayat #rangka
;