Rangka manusia ditemukan dalam belukar

Adie Sufian Zulkefli
Mei 29, 2024 04:30 MYT
Rangka manusia berkenaan ditemui sekitar jam 4.20 petang oleh orang awam yang melalui laluan belukar di Jalan Batu Buaya. - Foto PDRM
KUALA PERLIS: Rangka manusia yang sudah reput ditemui di kawasan belukar hutan bakau di Kampung Wai, Kuala Perlis, pada Rabu.
Rangka manusia berkenaan ditemui sekitar jam 4.20 petang oleh orang awam yang melalui laluan belukar di Jalan Batu Buaya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, susulan itu anggota polis dari Balai Polis Kuala Perlis dikerah ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.
"Pemeriksaan menyeluruh di lokasi bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan dan rangka yabg ditemui pula didapati tidak cukup sifat serta sudah reput.
"Anggota polis yang bertugas kemudian mengesan terdapat tiga tempat dijumpai pecahan kedudukan tulang dari rangka itu.
"Siasatan awal kita percaya bahawa berkemungkinan rangka manusia itu dihanyutkan atau dipercayai sudah dimakan oleh haiwan yang berkeliaran di kawasan belukar itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, siasatan awal pihaknya juga tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah yang berlaku.
"Siasatan awal kita bagaimanapun tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah yang berlaku di sebalik penemuan rangka manusia itu.
"Kawasan berkenaan adalah satu kawasan berpaya yang mempunyai hutan bakau dan ia sentiasa mengalami air pasang dan surut datang dari Sungai Wai setiap hari.
"Keadaan itu akan berlaku hingga menutup laluan pejalan kaki di belukar itu menyebabkan keadaan tanah di kawasan itu sentiasa basah," katanya.
Rangka manusia itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR.
#rangka manusia #belukar #Yusharifuddin Mohd Yusop #hutan bakau
;