Rangka manusia dijumpai di Bukit Pelindung
Sinar Harian
Februari 20, 2022 06:20 MYT
Februari 20, 2022 06:20 MYT
KUANTAN: Satu rangka manusia disyaki milik lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir sebulan lalu ditemui di kawasan Bukit Pelindung di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, rangka itu ditemui kira-kira jam 11.30 pagi dalam keadaan terselit di celah batu di kawasan kaki Bukit Pelindung.
Menurutnya, lokasi penemuan rangka itu kira-kira dua kilometer dari tempat beg dan selipar milik mangsa yang dijumpai sebelum ini.
"Penemuan rangka itu hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan kembali kira-kira jam 9 pagi hari ini (Ahad).
"Pasukan SAR terdiri daripada 17 anggota termasuk polis dan pihak bomba," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Wan Mohd Zahari berkata, rangka manusia itu dibawa keluar dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti sebenar.
Pada 19 Januari lalu, seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan hilang di kawasan itu selepas keluar daripada rumahnya pada pagi hari berkenaan.
Mangsa dilihat berada di kawasan itu oleh seorang pendaki pada hari dia dilaporkan hilang.
Laporan polis berhubung kehilangan mangsa dibuat keluarga sebelum operasi SAR digerakkan.
*Berita asal di Sinar Harian
#rangka manusia
#Bukit Pelindung
#Wan Mohd Zahari Wan Busu
#Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan