Rangka kerja, strategi ekonomi biru sedang dibangunkan - Rafizi

Bernama
November 17, 2024 16:20 MYT
Rafizi berkata, ekonomi biru ini melibatkan industri berkaitan laut seperti perikanan, di samping turut menggunakan laut sebagai sumber untuk menjana tenaga. - Gambar fail
KOTA BHARU: Satu rangka kerja dan strategi ekonomi biru sedang dibangunkan di peringkat Kementerian Ekonomi, yang dijangka disiapkan menjelang akhir 2025, kata Menterinya Rafizi Ramli.
Beliau berkata ekonomi biru ini melibatkan industri berkaitan laut seperti perikanan, di samping turut menggunakan laut sebagai sumber untuk menjana tenaga.
"Ada juga industri yang boleh dikembangkan berkaitan dengan laut seperti kejuruteraan marin dan sebagainya.
"Ekonomi biru ini banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu kerana kedua-dua negeri itu mempunyai pesisir pantai yang panjang," katanya dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK-13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Rafizi berkata kedua-dua negeri berkenaan secara tradisinya telah lama terlibat dengan aktiviti perikanan.
"Oleh itu, saya harap kita dapat bersama dengan kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kita hendak mendapatkan potensi daripada ekonomi biru ini setelah rangka kerja ini dimuktamad dan dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
-- BERNAMA
#Rafizi Ramli #ekonomi biru #Kementerian Ekonomi' #Kerajaan Madani
;