Rangka Kerja Integriti dan Antirasuah Industri Perkhidmatan Air perlu dikaji semula

Bernama
Mei 13, 2024 05:00 MYT
SPAN pada Isnin menganjurkan sesi taklimat dan perkongsian amalan terbaik bersama anggota suruhanjaya, pemegang lesen dan agensi perakuan yang turut dihadiri Pengerusi SPAN Charles Santiago.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati terdapat keperluan mengkaji semula inisiatif sedia ada melalui pelaksanaan Rangka Kerja Integriti dan Anti-Rasuah Bagi Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan Industri Perkhidmatan Air dalam memerangi rasuah.
SPAN dalam kenyataan pada Isnin menyebut dengan tumpuan yang diberikan ketika ini terhadap memperkasa aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), semua pihak sewajarnya menilai dan memberi lebih perhatian khususnya terhadap amalan serta pelaksanaan berkaitan dengan elemen tatakelola.
"SPAN amat komited dalam merealisasikan pemerkasaan aspek integriti dalam industri perkhidmatan air melalui kerjasama erat bersama para pemegang lesen," menurut kenyataan itu.
Rangka kerja integriti berkenaan telah dilancarkan pada 5 Sept 2019 bertujuan membantu pemegang lesen individu dan agensi perakuan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dalam melaksanakan polisi, prosedur dan langkah kawalan berkaitan integriti serta antirasuah yang bersesuaian.
Kenyataan itu menyebut SPAN pada Isnin menganjurkan sesi taklimat dan perkongsian amalan terbaik bersama anggota suruhanjaya, pemegang lesen dan agensi perakuan yang turut dihadiri Pengerusi SPAN Charles Santiago.
Taklimat itu bagi membincangkan arah tuju industri susulan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2029 (NACS) bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) baru-baru ini.
"Taklimat rangka kerja serta perkongsian amalan terbaik yang diadakan ini diyakini dapat membantu pemegang lesen untuk memantapkan lagi usaha dan inisiatif sedia ada ke arah pemantapan agenda integriti di organisasi masing-masing daripada sebarang potensi ketirisan," menurut SPAN.
-- BERNAMA
#Rasuah #SPAN #NACS #agenda integriti
;