Rang Undang-Undang Warga Emas ambil kira tindakan terhadap anak tidak bertanggungjawab
Umavathi Ramayah
Mac 15, 2023 11:47 MYT
Mac 15, 2023 11:47 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Warga Emas dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri, Aiman Athirah Sabu berkata, kementeriannya akan meneliti kesesuaian undang-undang itu ke atas individu yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa mereka.
Menurutnya, ia adalah bagi memastikan kesedaran masyarakat umum tentang kepentinganmenjaga warga emas akan meningkat.
Bagi tujuan itu beliau memberitahu, kementeriannya menjalankan satu kajian kandungan, pendekatan dan skop.
"Penggubalan akta warga emas ini dilihat sebagai langkah positif yang bersifat holistik untuk melindungi warga emas di Malaysia," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian kepada soalan Mohd Sany Hamzan (PN-Hulu Langat) berhubung sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan atau rumah jagaan warga emas.
Pada masa sama, Aiman Atirah berkata, usaha mewujudkan akta itu merupakan inisiatif kementerian dalam menangani isu penuaan menjelang 2030 dengan pendekatan yang dapat mengharmonikan semua pihak.
Beliau turut memberitahu, pihaknya menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan pemotongan gaji kepada individu yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan namun tidak melaksanakan tanggungjawab.