Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan dibentang di Dewan Rakyat
Bernama
April 6, 2015 07:19 MYT
April 6, 2015 07:19 MYT
Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang bertujuan mengawal industri penerbangan awam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Rang Undang-Undang itu yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar akan membolehkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang bebas dalam melaksanakan fungsinya.
Antara fungsi Suruhanjaya itu termasuk mengawal selia ekonomi industri itu di peringkat global dan tempatan, supaya dapat menggalakkan pertalian ekonomi, integrasi dan pertumbuhan, perdagangan, pelaburan serta pelancongan.
Suruhanjaya juga bertanggungjawab menggalakkan persaingan berkesan dalam industri penerbangan awam melalui cara yang menguntungkan, cekap dan adil.
Entiti baharu itu juga perlu mewujudkan mekanisme bagi perlindungan pengguna termasuk memastikan pengguna mendapat akses kepada produk dan perkhidmatan bermutu pada harga berpatutan selain membantu menyelesai aduan pengguna.
Ia juga berfungsi mentadbir dan menguruskan hak trafik udara, memantau penguntukan slot bagi syarikat penerbangan atau pengendali pesawat udara lain dan menyelaras perkara yang menjadi kepentingan kepada industri penerbangan awam negara antara pemberi perkhidmatan penerbangan dengan agensi kerajaan, di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Keanggotaan Suruhanjaya terdiri daripada Pengerusi Eksekutif yang dilantik perdana menteri, dua wakil kerajaan persekutuan terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri serta tidak kurang daripada empat tetapi tidak lebih daripada enam anggota lain yang mempunyai pengalaman sesuai.
Anggota Suruhanjaya akan memegang jawatan selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan layak dilantik semula bagi tempoh maksimum dua penggal berturut-turut.
Apabila ditubuhkan, Suruhanjaya itu akan bertanggungjawab mengeluarkan lesen dan permit perkhidmatan udara, lesen pengendalian darat dan lesen pengendali aerodrom kepada pengusaha penerbangan termasuk yang membawa penumpang, mel atau kargo yang beroperasi di negara ini.
Mana-mana pihak yang melanggar peruntukan itu boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama dan RM50 juta bagi sabitan seterusnya.
Di bawah rang undang-undang itu, Suruhanjaya Penerbangan berhak melarang sebarang tindakan percantuman perkhidmatan penerbangan bagi memastikan ia tidak mengakibatkan pengurangan persaingan dalam pasaran penerbangan di negara ini.
Suruhanjaya juga boleh pada bila-bila masa menjalankan atau melantik juruaudit untuk menjalankan audit ke atas mana-mana aspek industri penerbangan awam termasuklah pengendalian lapangan terbang dan perkhidmatan yang berkaitan dan dibentangkan di Parlimen.
Selain rang undang-undang itu, turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama semalam ialah Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Persaraan (Pindaan) 2015.