Rang undang-undang sumber air dibentang tahun depan - Timbalan Menteri
Bernama
Oktober 11, 2016 18:14 MYT
Oktober 11, 2016 18:14 MYT
Rang undang-undang berkaitan sumber air akan dibentangkan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat tahun hadapan bagi melindungi sumber air dan mengelak krisis bekalan air negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri berkata draf berkaitan rang undang-undang itu masih dalam perincian.
"Perkara ini adalah untuk masa depan air negara dan rang undang-undang itu bertujuan untuk menguruskan sumber air dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Tumbuhan Ubatan dan Beraroma ke-14 (MAPS14) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat, Datuk Ibrahim Ahmad.
Beliau berkata rang undang-undang seperti itu juga telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri di Semenanjung.
"Sehingga kini ia diterima baik. Ia akan menyusul pula di Sabah dan Sarawak," kata Hamim.
Beliau berkata sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, ia akan menjadi garis panduan yang jelas dalam melindungi dan memulihara sumber air dengan lebih berkesan.
Pelaksanaan undang-undang itu sejajar dengan keadaan negara yang berhadapan dengan krisis bekalan air, katanya.
"Ia berkaitan dengan pengurusan air di mana kita berhadapan dengan situasi berlakunya aktiviti pemanasan global, air tercemar dan kekurangan bekalan air. Perkara ini boleh dikawal selia melalui undang-undang ini," katanya. - Bernama