Rang undang-undang pusat jagaan warga emas dibentang bulan depan

Bernama
Februari 8, 2017 07:54 MYT
Rang undang-undang itu bertujuan mengawal selia institusi jagaan warga emas swasta di seluruh negara. - Gambar hiasan
Rang Undang-Undang Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017 akan dibentangkan pada sidang parlimen bulan depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri pada Rabu.
Rang undang-undang itu bertujuan mengawal selia institusi jagaan warga emas swasta di seluruh negara dan menetapkan standard minimum untuk petugas pusat kemudahan serta perkhidmatan warga emas, katanya.
"Dengan adanya akta ini semua pusat perkhidmatan warga emas yang menjaga lebih daripada empat warga emas berusia lebih 60 tahun perlu berdaftar," katanya kepada pemberita di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah warga emas iaitu mereka yang berusia lebih 60 tahun di Malaysia dijangka mencecah 4.5 juta pada 2030.
Katanya pada masa ini terdapat dua akta iaitu Akta Pusat Jagaan 1993 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di bawah Kementerian Kesihatan yang mengawal selia aspek ini.
"Bagaimanapun, sebahagian besar daripada pusat khidmat dan jagaan warga emas pada masa ini tidak berdaftar dengan mana-mana agensi," katanya.
Dr Subramaniam berkata kerajaan berpandangan perlu ada piawaian dalam penjagaan golongan ini memandangkan ada antara yang tinggal dalam komuniti pesara tersebut mula membayar perkhidmatan itu sebelum mereka mencapai usia persaraan.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan komited dalam memastikan warga emas mendapat penjagaan kesihatan dan harian yang optimum demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan golongan itu selaras dengan Dasar Warga Emas Negara.
-- BERNAMA
#menteri #Parlimen #Rang Undang-Undang #warga emas
;